Page 239 - BUKU PENGURUSAN SMK CHANIS 2019
P. 239
Elemen dalam melaksanakan pertimbangan profesional seperti ditunjukkan dalam
Rajah 22 adalah seperti berikut:
(a) Pengetahuan
Guru perlu berpengetahuan luas dalam mata pelajaran yang diajar meliputi ilmu,
kandungan, strategi pengajaran serta berkebolehan mentaksir murid (dengan pelbagai
kaedah pentaksiran) secara adil, telus dan konsisten.
(b) Tanggungjawab profesional
Guru melaksanakan pentaksiran secara bertanggungjawab dan beretika berdasarkan
pengetahuan, input murid serta pengalaman yang ada dengan cekap, adil, telus,
sistematik dan holistik.
(c) Input murid
Guru menganalisis dan membuat pertimbangan berdasarkan pemerhatian,
perbincangan dua hala, soal jawab, lembaran kerja murid, buku log, portfolio, jurnal
harian, kuiz, esei, puisi, slaid pembentangan, hasil projek dan lain-lain yang
bersesuaian. Guru juga membuat pertimbangan berdasarkan prestasi murid dalam
aktiviti PdP, ujian atau latihan yang diberikan.
(d) Pengalaman
Guru menggunakan pengalaman mengajar dalam interaksi dengan murid. Berdasarkan
pengalaman, guru dapat mengenal pasti kekuatan dan potensi murid. Walau
bagaimanapun, guru harus mentaksir murid secara profesional.
4.2 Melaksanakan Pertimbangan Profesional
Pertimbangan profesional merupakan satu proses yang berterusan sepanjang proses
PdP. Guru dapat melakukan pertimbangan profesional berdasarkan kekerapan
pemerhatian dan interaksi dengan murid pada satu tempoh yang sesuai.
Walau bagaimanapun, untuk suatu pertimbangan yang boleh dipercayai, seorang
murid harus diberi peluang yang mencukupi bagi menunjukkan apa yang telah
dipelajari. Ini bermakna guru harus mengumpul hasil kerja murid yang secukupnya
serta melakukan pemerhatian untuk mendapat gambaran yang menyeluruh bagi
membantunya membuat pertimbangan terhadap seseorang murid. Ini membolehkan
guru membuat justifikasi tentang pertimbangan yang telah dilakukan.
31