Page 121 - MAJALAH SRI JELASIN 2024
P. 121
“Fasha takut tak mampu ayah. Fasha kerja lagi, bukan mudah untuk belajar
sambil bekerja ni, bukan ayah tidak tahu, keduanya memerlukan komitmen
yang besar,” jelas saya panjang lebar. Sebolehnya saya mahu menolak.
“Fasha perlu bagi sokongan pada kak Rauhah. Ayah mengharapkan Fasha,”
ayah memutuskan perbualan dan beredar dari situ.
Semenjak dari itu, jadual harian kami turut berubah sejak saya dan kak Rauhah
bergelar penuntut di sebuah institut pengajian tinggi swasta di Kota Bharu.
Kelam kabut saya rasakan kerana masih tidak dapat mengagihkan masa yang
seimbang antara kerjaya dan belajar. Sesekali muak melihat buku-buku tebal
yang perlu dihadap siang
dan malam. Kadang-kadang saya merengus sendiri. Menyesal dengan situasi
yang perlu saya tempuh dalam paksaan ini.
Namun, apa yang membuatkan hati saya kendur kembali apabila melihat
kegigihan kak Rauhah yang bangun seawal empat pagi untuk menyiapkan
tempahan makanan yang diterimanya setiap hari. Itu sudah cukup
menyedarkan saya akan pepatah ‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’.
Saya tahu seharian kak Rauhah kepenatan. Tidurnya hanya tiga jam sehari. Pagi
bertungkus lumus di dapur menyiapkan tempahan murtabak untuk diagihkan
ke kedai-kedai berdekatan. Tengahari pula kak Rauhah akan mempersiapkan
anak-anak untuk ke sekolah. Petang dia gigih melaksanakan pelbagai urusan di
rumah dan pada malamnya kak Rauhah sibuk dengan ‘assignment’ yang
bertimbun.
Namun kak Rauhah tidak pernah mengeluh, apalagi menyalahkan takdir yang
telah ditentukan kepadanya. Dia begitu cekal mengharungi kehidupan untuk
membesarkan anak-anak. Sungguh, saya malu jika dibandingkan dengan kak
Rauhah. Semangatnya bagaikan bangkit demi anak-anak. Perjuangannya bukan
sedikit. Hanya Allah yang tahu. Terima kasih ya Rabbi, Dikau jentik hatiku untuk
berfikir dari pengajaran ini. Bukan dari orang lain, tetapi dari kak Rauhah yang
dahulunya saya anggap dia cukup lemah untuk menghadapi semua ini.
“Kak Rauhah, Fasha bangga dengan akak,” saya memeluk kak Rauhah
seeratnya.
“Tahniah juga Fasha, kita sudah sama-sama dapat menggenggam Ijazah Sarjana
Pendidikan ini bersama-sama. Allahuakbar, tidak terlintas dalam impian kak
Rauhah sebelum ini, yang akak akan berada sejauh ini bersama Fasha,” kata-
kata kak Rauhah penuh emosi.
118