Page 9 - eBukuProgram SEBAHTERAIPGKK2021
P. 9
KATA ALU-ALUAN PENGARAH
DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, MALAYSIA
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Salam sejahtera dan salam Bahasa Jiwa Bangsa.
Penganjuran Seminar Bahasa, Budaya dan Kesusasteraan Melayu (SEBAHTERA) buat kali yang
keempat pada tahun 2021 jelas memperlihatkan komitmen tinggi pelbagai pihak dalam meneruskan
tradisi keilmuan. Secara umumnya, bangsa yang maju sering menempatkan aspek budaya dan sastera
sebagai bahagian yang penting dalam kehidupan bangsa tersebut. Bahasa pula merupakan medium
untuk menjelaskan dengan lebih tuntas berkenaan aspek budaya dan kesusasteraan. Hal ini
menunjukkan bahawa bahasa, budaya dan kesusasteraan saling berkait rapat dan memerlukan antara
satu sama lain. Bertepatan dengan tema “Bahasa, Budaya dan Sastera Mendepani Era Revolusi
Pendidikan” pada SEBAHTERA IV kali ini, jalinan kerjasama antara Institut Pendidikan Guru (IPG),
Universitas Hassanuddin (UNHAS) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diharapkan dapat terus
melestarikan bidang yang berkaitan.
Pelaksanaan SEBAHTERA IV juga menunjukkan bahawa kita amat menghargai peranan dan
sumbangan besar penyelidikan dalam bidang bahasa, budaya dan sastera terhadap perkembangan
minda dan sikap masyarakat. Penyelidikan merupakan seni untuk menyingkap ilmu pengetahuan
baharu. Sebagai proses intelektual dan eksperimental, penyelidikan membantu kita mencari
penyelesaian bagi sesuatu permasalahan. Seiring dengan perkembangan Revolusi Perindustrian
4.0, pastinya penyelidikan perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa agar kita sentiasa bersedia
untuk mengadaptasi diri dengan perubahan dan cabaran yang mendatang,seterusnya menyumbang
terhadap lonjakan dalam dunia pendidikan.
Sebagai badan perancangan bahasa yang berwibawa, Dewan Bahasa dan Pustaka akan terus
menyokong dan terlibat sama dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan dalam pelbagai
bidang. Melalui Pelan Strategik Dewan Bahasa dan Pustaka 2021-2025, kita akan memberikan
tumpuan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, bahasa ilmu dan bahasa ekonomi.
DBP juga akan terus menggemblengkan idea dan tenaga untuk menarik minat pelbagai pihak dan
rakan sinergi agar bersama-sama dalam usaha memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan.
Ibarat peribahasa “Seikat bagai sirih, serumpun bagai serai”, kegiatan kebahasaan diharapkan dapat
senantiasa menyatukan kita dalam kepelbagaian.
Terima kasih.
YBHG. DATUK HAJI ABANG SALLEHUDDIN BIN ABG SHOKERAN
Ketua Pengarah
Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia