Page 10 - C:\Users\ACER\Documents\Flip PDF Corporate Edition\MAJALAN 2023\
P. 10
Secebis Bingkisan
YDP PIBG SMK Meradong
Salam Sejahtera dan salam Malaysia MADANI,
Setinggi-tinggi kesyukuran kepada Tuhan kerana memberikan saya peluang sekali lagi untuk melarik sejumlah kata
dalam Sinar Meradong bagi tahun 2023. Tahniah, dan syabas diucapkan kepada Jawatankuasa Sidang Majalah Sekolah kerana
berjaya mendokumentasikan aktiviti, kejayaan dan pencapaian pelajar sekolah sebagai kenangan semua warga SMK
Meradong.
Peranan Persatuan Ibu-Bapa dan Guru (PIBG) telah disenaraikan sebagai salah satu dalam sebelas (11) anjakan untuk
transformasi pendidikan negara, dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Hal ini merupakan satu
amanah yang dipertanggungjawabkan secara langsung kepada PIBG bagi memastikan setiap ibu bapa menjadi rakan yang
aktif dalam proses pembelajaran anak-anak, dan bukan sahaja melalui aktiviti yang lazim, seperti hadir pada Hari
Permuafakatan (penyerahan kad laporan), tetapi juga terlibat aktif dalam agenda PIBG.
Untuk itu, peranan PIBG akan diperluaskan daripada tumpuan biasa, yakni dalam usaha pengumpulan dana,
sehingga kepada bekerjasama dengan pihak kepimpinan sekolah untuk meningkatkan keberhasilan para pelajar. Maklum
balas positif pihak ibu bapa, serta penyertaan mereka dalam PIBG amat dialu-alukan bagi mengemukakan input tentang cara
yang membolehkan sekolah menjadikan kurikulum kebangsaan lebih relevan dengan keperluan komuniti setempat.
Maka, bagi tahun 2023 ini, kami mengalu-alukan penyertaan menyeluruh ibu bapa pelajar untuk turut serta dalam
memastikan usaha ini menjadi kenyataan. Para ibu bapa harus menyedari bahawa tanggungjawab anak mereka di sekolah
bukan sahaja untuk cemerlang dalam akademik, tetapi juga membentuk karakter mereka
menjadi modal insan yang terdidik, dan bersahsiah tinggi agar transformasi pendidikan dapat
dilestarikan bagi memenuhi aspirasi negara. Maka inilah peranan penting yang kita (ibu bapa)
perlu laksanakan.
Akhir kata, sekali lagi saya selaku Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(PIBG) SMK Meradong dengan seikhlas hati mewakili semua EXCO PIBG dan ibu bapa
akan sentiasa menyokong usaha pihak sekolah dalam merancang sebarang aktiviti
sekolah demi memajukan SMK Meradong khususnya pelajar sekolah. Semoga
SMK Meradong terus maju dan cemerlang di masa akan datang.
Sekian, terima kasih.
PUAN CHERIDA ANAK IGU
YDP PIBG SMK MERADONG