Page 4 - 2019 KAJIAN TULIN 30 MAHIR JAWI
P. 4
Tajuk:
Meningkatkan Kemahiran
Menulis Jawi dengan menggunakan kaedah TULIN ( Modul Tulis dan Ingat )
Guru pengkaji :
AHMADAN BIN GHAZALI - Guru Pendidikan Islam Sekolah Menengah Kebangsaan Matang, 34750
Matang, Perak.( 2005 - sekarang )
Latar Belakang Kajian:
SMK Matang merupakan sebuah sekolah yang terletak 9 km ke timur bandaraya bersejarah Taiping, Perak
dan terletak 5.5 km ke barat Kuala Sepetang yang dahulunya dikenali sebagai Port Weld. Sekolah ini
dikategorikan sebagai sekolah luar bandar dan rata-rata pelajarnya terdiri daripada anak-anak nelayan,
buruh kasar, kakitangan kerajaan, peneroka FELDA, petani dan peniaga iaitu dari kumpulan sederhana
dan miskin. Oleh kerana prestasi pelajar adalah sederhana maka pelajar kurang daya saing dalam
meningkatkan prestasi pembelajaran mereka.
Pengajian mata pelajaran Pendidikan Islam merupakan salah satu aset penting dalam kehidupan
harian. Bilangan pelajar sekolah ini berjumlah 955 orang yang terdiri dari pelajar Melayu, Cina dan India.
Pelajar Islam di sekolah ini seramai 378 orang. Pencapaian baik dalam mata pelajaran ini akan
memudahkan laluan ke menara gading dan seterusnya menjana sahsiah terpuji dalam pekerjaan nanti.
Walau bagaimanapun tidak begitu ramai pelajar SMK Matang mencapai keputusan cemerlang (A) bagi
mata pelajaran ini dalam peperiksaan PT3 dan SPM. Ini disebabkan oleh kelemahan pelajar terutamanya
dalam menjawab soalan berbentuk menjawikan perkataan rumi.
Kajian ini dilaksanakan kepada murid yang sederhana dan lemah dalam al-Quran dan jawi, atas
dasar ini satu kajian dari skop yang kecil dilaksanakan bagi meningkatkan penguasaan jawi dalam mata
pelajaran Pendidikan Islam di sekolah ini.