Page 97 - Kit Ramadhan & Syawal
P. 97
Ramadan dan Syawal
Kit
Kit Ramadan dan Syawal
7 Hukum zakat fitrah bagi pelajar perempuan di luar negara
Pelajar perempuan yang berada di luar negara wajib membayar sendiri zakat fitrah bagi dirinya mengikut kadar setempat
jika berkemampuan. Namun, jika bapanya mahu membayarkan bagi pihaknya, maka hukumnya harus dan sah dengan
keizinan pelajar tersebut.
Sebaiknya pelajar perempuan itu berhubung dengan persatuan pelajar Malaysia untuk bertanya tentang kebiasaan yang
dilakukan di sana. Cara ini lebih mudah bagi mengetahui saluran yang betul dan cara membayarnya.
8 Adakah bayi dalam kandungan dikenakan zakat fitrah?
Ibn Umar RA meriwayatkan bahawa beliau berkata:
“Rasulullah SAW mewajibkan untuk memberi zakat fitrah. Kadarnya ialah segantang kurma atau gandum. Ia
diwajibkan ke atas setiap hamba, orang yang merdeka, kanak-kanak mahupun dewasa.”
Muttafaq ‘Alaih
Bayi yang berada dalam kandungan tidak dikira sebagai kanak-kanak. Oleh itu, bayi dalam kandungan tidak termasuk
dalam mafhum hadis di atas.
Zakat fitrah tidak diwajibkan ke atas bayi yang berada di dalam kandungan. Begitu juga tidak wajib bagi bapanya untuk
membayar zakat fitrah bagi pihak bayi tersebut.
95