Page 18 - BUKU PENGURUSAN SKTB 2019
P. 18
TATASUSILA PROFESION PERGURUAN MALAYSIA
Kami Guru-Guru Malaysia yakin bahawa tujuan utama pendidikan ialah berusaha menuju ke arah
pembentukan warganegara yang berilmu, yang taat setia, yang bertanggungjawab dan berkebolehan,
yang menyedari betapa pentingnya usaha menuju ke arah kebenaran dan ke arah pencapaian hasrat
yang gemilang dan percaya kepada demokrasi, kebebasan perseorangan dan prinsip-prinsip Rukun
Negara.
Melalui pendidikan, masyarakat dapat membantu anak mudanya memahami kebudayaan mereka,
memperolehi pengetahuan yang telah terkumpul sejak zaman berazam dan menyediakan mereka untuk
menghadapi cabaran pada masa hadapan.
Dengan menyedari betapa besarnya tanggungjawab membimbing anak muda untuk mencapai
kemajuan sepenuh-penuhnya, maka dengan ini kami menerima tatasusila berikut sebagai panduan untuk
membolehkan kami menyempurnakan profesion kami ke taraf kesusilaan yang setinggi-tingginya.
1. TANGGUNGJAWAB TERHADAP PELAJAR
* Lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar kami daripada hal-hal lain.
* Bersikap adil terhadap setiap orang pelajar tanpa mengira faktor-faktor jasmani,
mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan atau agama.
* Merahsiakan maklumat ikhtisas atau sulit mengenai pelajar kecuali kepada mereka yang
berhak mengetahuinya.
* Membimbing atau mengajar seseorang pelajar dalam darjah sendiri atau dalam
matapelajaran-matapelajaran yang diajar di bilik darjah tanpa sebarang bayaran.
* Menunjukkan suatu cara pakaian, pertuturan dan tingkahlaku yang dapat memberikan
contoh yang baik kepada pelajar.
* Memelihara dan memperbaiki kecekapan ikhtisas melalui pengkajian penyelidikan
lawatan dan menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, mesyuarat atau seminar
supaya pengajaran kami mencapai mutu yang setinggi-tingginya.
2. TANGGUNGJAWAB TERHADAP IBUBAPA
* Menghormati tanggungjawab utama ibubapa terhadap anak-anak mereka.
* Berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di antara Institusi
Pendidikan dengan rumahtangga.
* Menganggap semua maklumat yang diberikan oleh ibubapa mengenai keadaan rumahtangga atau
mengenai anak mereka sebagai sulit tidak akan membocorkannya kepada sesiapa kecuali
kepada mereka yang berhak mengetahuinya.
* Memberikan maklumat kepada ibu bapa demi kepentingan anak-anak mereka dan
menggunakan yang diterima daripada ibu bapa secara teliti dan bijaksana.
* Mengelakkan diri dari menggunakan atau dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan ekonomi ibu
bapa pelajar.
SK TELUK BULOH, 2019 16