Page 147 - eDinamik
P. 147

KEMURUNGAN PERLU MAKAN UBAT?
                                     Noor Syazana binti Ngarisan



          Mungkin tidak pernah terlintas dalam fikiran kebanyakan daripada kita bahawa seseorang itu
          perlu mengambil ubat hanya disebabkan oleh tekanan perasaan. Berbeza dengan makanan
          tambahan atau vitamin, perbuatan mengambil ubat selalunya dikaitkan dengan penyakit.
          Jika seseorang itu perlu mengambil ubat kita beranggapan mestilah dia sakit atau kurang
          sihat. Apatah lagi jika ubat itu perlu diambil secara berkala, pasti ramai antara kita akan
          mengandaikan penyakit yang dihidapinya kronik dan boleh mengancam nyawa.

          Jadi apabila berhadapan dengan situasi di mana seseorang itu perlu mengambil ubat kerana
          tekanan perasaan atau lebih tepat disebut sebagai kemurungan atau depresi, masyarakat
          kita sukar untuk memahaminya dan mula memandang serong. Umumnya masyarakat suka
          mengkategorikan sakit itu hanya pada fizikal dan tidak pada mental. Kemurungan dianggap
          berpunca daripada kelemahan diri sendiri. Pesakit dikatakan terlalu manja, tidak tahan
          dengan cabaran, tidak cukup iman atau melupakan Tuhan. Inilah antara stigma terbesar
          yang perlu dihadapi pesakit kemurungan.

          Sebenarnya masalah seperti kemurungan atau kebimbangan melampau (anxiety) adalah
          sebahagian daripada masalah kesihatan mental. Kemurungan berbeza dengan stress.
          Hanya doktor pakar psikitari boleh memberi diagnos kemurungan atau MDD (major
          depressive disorder) seterusnya memberi preskripsi ubat kepada pesakit.

          Pertamanya bukan mudah untuk pesakit sendiri menerima hakikat bahawa mereka
          memerlukan bantuan. Proses ini memerlukan keberanian. Apatah lagi jika pesakit
          keseorangan tanpa sokongan atau dorongan sesiapa. Lebih memudaratkan jika pesakit
          tiada ilmu tentang ke mana hendak dituju atau apa perlu dilakukan. Bila pesakit sudah
          bersedia menerima rawatan mereka perlu pula memikirkan pandangan masyarakat kerana
          bimbang dilabel sebagai gila atau tidak siuman.

          Pesakit akan jadi lebih tertekan kerana malu dan akhirnya memilih untuk tidak meneruskan
          rawatan. Akibatnya mereka gagal pulih dan tidak dapat menjalani kehidupan dengan baik.
          Simptom kemurungan seperti kesedihan melampau yang berpanjangan, fungsi hidup harian
          terjejas dan pola tidur terganggu akan berterusan. Keadaan ini akan membawa kepada
          kesan yang lebih buruk seperti halusinasi dan keinginan untuk bunuh diri (suicidal thought).
















   138
   142   143   144   145   146   147   148   149   150   151   152