Page 284 - eDinamik
P. 284
Sudah siap diadun, kepingan daun pisang yang dipotong sepapan-sepapan diisi dan
dibungkus. Secamca pendek kontot , sudah cukup untuk sebungkus lepat bunga chica.
Bungkusan lepat diletakkan ke dalam periuk kukus sebelum dididihkan. Pastikan dulu airnya
cukup, pantang Mak CIk Melah kalau periuknya hangit.
Itu cerita malamnya.
Esok pagi kami sudah tahu sarapan apa pagi itu sebelum melangkah ke sekolah.
“Aku suka, sedap!”
Itu kisahnya tiga puluh tahun dahulu.
Kini, lepat bunga chica tiada lagi. Pokoknya entah ada entah tiada. Besen besi
tiada lagi, tekoran juga tiada lagi, jerat lembu entah di mana, anak-anak Imran tidak pernah
memegangnya.
Hanya lepat bunga chica yang dimasak mengikat ingatan Imran dengan Makcik
Melah, menambat kasih sepanjang-panjangnya dengan Makcik Melah. Lepat bunga chica
mengajar Imran erti tanggungjawab. Tahu apa yang mahu dimasak, tahu tugas Imran
mengutip bunga, tahu tugasnya memotong daun pisang sebelum pelepahnya dibuat
senapang; pong pong. Tahu kena pastikan air periuk kukusnya penuh sebelum kayu api
dicucuh getah, tidakpun dituang minyak tanah sahaja.
Ah, tahukah anak-anak Imran sarapan esok paginya? Ah, kenalkah anak-anak
kini sekuntum bunga chica yang gugur di tepi bendang? Tahukah anak-anak menumbuk
tepung beras, menumbuk padi?
Imran terbuai.
“Ya Allah, lapangkanlah kubur Makcik....”
Hanya kerana lepat bunga chica, ingatan Imran pada Makciknya bertambah-
tambah.
275