Page 280 - eDinamik
P. 280
PENGAJARAN DARIPADA HIJRAH NABI SAW KE MADINAH
oleh Mohamad Zaki Razaly
Setiap kali tibanya bulan Muharram, pasti ramai yang akan menyoroti kembali peristiwa
besar dalam sejarah umat Islam iaitu Hijrah Nabi SAW daripada Makkah al-Mukarramah ke
Madinah al-Munawwarah. Bulan Muharram adalah bulan yang istimewa dan mempunyai
banyak kelebihan. Antaranya kita dituntut untuk memperbanyakkan puasa sunat selain
daripada puasa Asyura dan Tasu’a semata-mata. Walaupun begitu, tidaklah bermakna
peristiwa hijrah Nabi SAW berlaku pada bulan Muharram seperti yang disangka oleh ramai
orang. Hijrah Nabi SAW bermula pada 28 Safar dan tiba di Madinah pada 8 Rabiul Awal (al-
Mubarakfuri, 2017). Bulan Muharram ditetapkan sebagai bulan pertama dalam kalendar
hijrah oleh Saidina Umar al-Khattab disebabkan ia seolah-olah seperti permulaan yang
baharu bagi umat Islam setelah mereka selesai menunaikan ibadah haji pada bulan Zulhijah
(Ibn Kathir, 2004).
Peristiwa Hijrah Nabi SAW ke Madinah pada pandangan yang masyhur berlaku
selepas daripada peristiwa Isra’ dan Mikraj. Ironinya dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj Nabi
SAW diberikan buraq sebagai kenderaan, manakala hijrah Nabi SAW ke Madinah adalah
sebaliknya. Perjalanan Nabi SAW dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj adalah istimewa dan
khusus untuk Nabi SAW menemui penciptaNya bagi menerima kefardhuan solat dan bukan
untuk diteladani atau dicontohi oleh umat Islam. Penghijrahan Nabi SAW ke Madinah pula,
dengan menempuhi pelbagai dugaan dan kepayahan memberikan mesej signifikan kepada
umat Islam bahawa penghijrahan itu merupakan satu keperluan yang perlu diteladani dan
dicontohi oleh setiap insan. Peristiwa ini juga menunjukkan bahawa tugas dakwah bukan
hanya digalas oleh ustaz dan ustazah sahaja, bahkan ia merupakan tugas hakiki bagi setiap
orang yang bergelar Muslim dan Muslimah.
Konteks hijrah pada hari ini mungkin tidak menuntut kita untuk bermigrasi ke
negara lain, pelaksanaannya adalah fleksibel yang boleh diterjemahkan melalui pendekatan
yang pelbagai. Pada zaman umat Islam kini lemah dan ketinggalan dari sudut teknologi,
ekonomi dan politik, menjadi keutamaan umat Islam untuk berhijrah dari kejahilan ilmu
kepada minda pengetahuan kelas pertama yang akan menjadi pemangkin terhadap
kemajuan dan dominasi umat Islam di peringkat global seperti mana pada zaman keemasan
Islam ketika pemerintahan Kerajaan Abasiyyah di Baghdad. Umat Islam juga harus berani
mengambil risiko melibatkan diri dalam dunia perniagaan dan korporat untuk memecahkan
monopoli penguasaan ekonomi oleh bukan Islam seterusnya mengangkat kedudukan umat
Islam sebagai golongan yang dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat dunia.
271