Page 278 - eDinamik
P. 278

LUQMAN DAN MESEJ PENDIDIKAN
                                      oleh Sidek Abdullah, Munirah Zakaria


          Luqman atau Luqman al-hakim adalah satu nama besar yang telah diabadikan sebagai satu
          surah dalam al-Quran. Luqman al-Hakim bermaksud Luqman yang mempunyai hikmah atau
          kebijaksanaan. Banyak pendapat diberikan bagi mengenali siapakah Luqman, sehingga ada
          yang mengatakan beliau adalah seorang nabi. Namun apa yang pasti, beliau mendapat
          pengiktirafan istimewa kerana sumbangannya menentukan dasar-dasar dalam memberi
          pendidikan kepada seseorang manusia. Biarpun mesej ini secara khususnya ditujukan
          kepada anaknya, tetapi al-Quran bersifat terbuka, sesuai sepanjang zaman untuk difahami
          dan diamalkan oleh mana-mana individu.
                     Terdapat tujuh mesej yang disampaikan oleh Luqman dalam surah tersebut.
          Pada kedudukan pertama diletakkan rasa syukur atau dalam bahasa kita, kita mengucapkan
          terima kasih. Kepada siapa, tentu sekali kepada Allah SWT dan juga kepada manusia. Allah
          SWT memberikan banyak nikmat sehingga kita tidak mampu menghitungnya. Allah SWT
          menegaskan lagi sekiranya kita bersyukur, Allah pasti menambah nikmatNya. Cara mudah
          untuk difahami tanda syukur ini ialah setiap kali selepas makan kita mengucapkan
          Alhamdulillah, kita selamat memandu, kita mengucapkan Alhamdulillah, hatta kita kembali
          dari tandas pun kita mengucapkan Alhamdulillah. Begitulah seterusnya.
                     Bagaimana Rasulullah SAW bersyukur? Ketika Aisyah melihat betapa berat
          beban suaminya mengerjakan solat malam dengan menyatakan: “Apa yang merisaukan
          kamu sedangkan Allah SWT mengampunkan dosamu Ya Rasulallah?” Jawab Nabi:
          “Salahkah aku ingin menjadi hamba yang bersyukur.?”. Dalam kitab Hidayatul Salikin, cara
          bersyukur ialah dengan menggunakan tujuh pancaindera kita ke arah kebaikan.

                     Perkara kedua yang ditekankan oleh Luqman ialah jangan mempersekutukan
          Allah dengan sesuatu apa pun. Dengan makna bahawa Allah adalah segala-galanya. Dialah
          yang memberikan rezeki, menentukan hidup mati manusia dan pengantungan kita hanya
          kepadaNya. Allah SWT Maha Berkuasa, sumber ilmu dan Maha Mengetahui dengan segala
          sifat kesempurnaanNya. Walau pun manusia kini bergantung hidup kepada teknologi
          moden, wang ringgit dan kehebatan akal dalam mencipta sesuatu, ingatlah bahawa
          semuanya berlaku dengan izin Allah SWT. Sungguh pun begitu tinggi teknologi kini dengan
          peralatan canggih bagi mengesan kapal terbang yang hilang, namun hingga kini semuanya
          gagal.

                     Seterusnya perkara ketiga yang ditekankan ialah berbuat baik kepada kedua ibu
          bapa. Ia menjadi suatu penghormatan dari manusia kepada manusia. Namun penghormatan
          ini tidak sampai pada tahap menjadikan ibubapa sebagai Tuhan. Berbuat baik meliputi
          percakapan, bantuan sara hidup, mendoakan kebaikan dan yang paling bernilai tentu
          sekali mengasuh mereka ketika mereka sudah berusia. Rasulullah SAW memberi
          penekanan betapa ibu perlu didahulukan berbanding bapa. Ketika ditanya oleh seorang
          lelaki, siapa yang patut didahulukan dalam konteks berbakti kepada keduanya, Rasulullah
          SAW menjawab ibu sebanyak tiga kali. Selepas itu barulah bapa.





                                                                                                     269
   273   274   275   276   277   278   279   280   281   282   283