Page 63 - eDinamik
P. 63

MAHASISWA DAN PELABURAN

              Maizura Md Isa, Nor Hazila Ismail, Nurul Haida Johan & Zaibedah
                                                 Zaharum



                    Kekangan kewangan di kalangan mahasiswa adalah suatu perkara yang sering
             berlaku di mana-mana institusi pengajian. Tidak kiralah institusi tersebut terletak dalam
             bandar mahupun di luar bandar. Masalah kewangan ini tetap akan timbul terutamanya
             ketika bermulanya semester baharu. Maka akan timbullah pelbagai masalah dan alasan
             yang digunakan untuk melewatkan pembayaran terutamanya yuran pendaftaran.

                     Kebanyakan para mahasiswa ini sebenarnya mempunyai alasan yang telus untuk
             menangguhkan pembayaran yuran mereka walaupun mereka mendapat pinjaman
             PTPTN. Antaranya termasuklah menjelaskan hutang bagi pihak keluarga, membayar
             yuran perubatan untuk ibu bapa di kampung dan juga membayar duit pendahuluan
             rumah sewa. Oleh kerana itu, para mahasiswa ini haruslah didedahkan kepada dunia
             pelaburan supaya mereka memperolehi pulangan yang menguntungkan bagi
             meringankan beban kewangan sendiri dan keluarga.

                     Ilmu yang diperolehi dalam bidang kewangan dan pelaburan semasa kuliah
             dapat membantu para mahasiswa ini memahami konsep pelaburan dengan lebih jelas.
             Para   mahasiswa     ini  haruslah  bijak  menguruskan    kewangan     mereka   dan
             mempraktikkannya dari peringkat awal lagi sebelum memasuki alam pekerjaan. Pada
             peringkat permulaan, para mahasiswa boleh berjinak-jinak dalam pelaburan unit amanah
             seperti yang diperkenalkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) melalui unit
             Amanah Saham Berhad (ASB) . Pulangan yang mereka dapat dalam bentuk dividen
             dapat membantu golongan mahasiswa ini berdikari dan menjana pendapatan sendiri.
             Selain daripada itu, pelaburan dalam bidang hartanah juga semakin popular dewasa ini.
             Pelaburan hartanah ini telah diperkenalkan oleh Permodalan Hartanah Berhad (PHB)
             melalui unit Amanah Hartanah Berhad (AHB). AHB merupakan dana pelaburan unit
             amanah yang menjanjikan pulangan unit amanah pelaburan kepada pelabur tanpa
             mengira pendapatan dan usia mereka. Seterusnya, jika mereka sudah bersedia, mereka
             mungkin boleh beralih kepada dunia pasaran saham yang lebih memerlukan kecekapan
             ketika membuat keputusan dan sudah pasti dengan analisis yang betul pulangan mereka
             nanti akan lebih tinggi berbanding pelaburan melalui unit amanah .

                     Apapun, semuanya terletak kepada kebijaksanaan para mahasiswa tersebut
             dalam pengurusan kewangan mereka mengenai pelaburan. Berbekalkan ilmu kewangan
             dan pelaburan yang diperolehi dalam kuliah serta modal pelaburan yang minima, mereka
             boleh memilih untuk melabur dalam unit amanah ataupun dalam pasaran saham. Pilihan
             di tangan mereka.















                                                                                                       54
   58   59   60   61   62   63   64   65   66   67   68