Page 61 - eDinamik
P. 61
Dalam merancang kewangan diri dan keluarga, adalah menjadi tanggungjawab
kita untuk memastikan harta kita diperoleh dengan cara yang betul, contohnya melalui
perniagaan. Rasulullah s.a.w. telah menegaskan bahawa kedudukan perniagaan adalah
merupakan satu kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT sebagaimana sabdanya yang
bermaksud: “Sembilan persepuluh sumber rezeki (boleh diperolehi) melalui perniagaan”.
Salah satu bentuk perniagaan ialah aktiviti pelaburan. Melalui pelaburan, kita
bukan sahaja dapat membina kekayaan untuk manfaat diri dan keluarga, malah dapat
menyumbang kepada kesejahteraan ummah dan masyarakat sejagat.
Terdapat pelbagai instrumen pelaburan yang disahkan oleh Bank Negara
Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Majlis Fatwa Negeri. Justeru, umat Islam harus lebih
peka dan janganlah terjebak dengan skim-skim cepat kaya yang diharamkan.
Usahlah kita menunggu adanya harta yang banyak untuk melabur. Pelaburan
yang sedikit tetapi istiqamah adalah lebih berkesan berbanding pelaburan yang mungkin
lebih banyak tetapi tidak konsisten. Pada masa yang sama, pelaburan serendah seringgit
sekalipun, apabila digembleng bersama, boleh membantu membina kekuatan ekonomi
sesebuah negara.
Oleh itu, janganlah sesekali alpa untuk merancang kewangan dan menguruskan
harta sebelum meninggalkan dunia yang sementara ini. Jadikanlah kurniaan harta di
dunia sebagai bekalan di akhirat. Jangan berkira-kira dengan harta yang ditinggalkan di
dunia ini. Tunaikanlah kewajipan zakat dan ringankanlah tangan untuk sedekahkan harta
melalui waqaf. Jadikanlah harta yang kita miliki itu sebagai wasilah untuk mendekatkan
diri kepada Allah SWT.
52