Page 62 - eDinamik
P. 62
BELANJAWAN PERIBADI
Zaibedah Zaharum, Mardziyana Mohamad Malom, Nor Hazila Ismail,
Maizura Mohd Isa & Nurul Haida Johan
Setiap individu inginkan keselesaan dalam kedudukan kewangan. Bagi
mencapainya perlulah ada satu sistem perancangan kewangan atau sistem penggunaan
kewangan yang berkesan agar perbelanjaan dapat diuruskan dengan baik. Pengurusan
kewangan masa hadapan mencerminkan pelbagai usaha yang melibatkan disiplin tertentu
untuk mengurus segala sumber pendapatan serta aset supaya setiap perbelanjaan yang
dibuat mendatangkan faedah atau manfaat yang optima dan dapat memungkinkan
tabungan serta pelaburan yang boleh menjamin pendapatan pada masa hadapan.
Salah satu usaha untuk menguruskan sumber-sumber pendapatan adalah dengan
melakukan belanjawan. Apa itu belanjawan? Belanjawan merupakan anggaran pendapatan
yang diperoleh dan perbelanjaan yang akan dibuat untuk suatu tempoh masa tertentu di
masa akan datang. Ia bertujuan untuk mendapatkan keseimbangan di antara pendapatan
dan perbelanjaan. Penyediaan belanjawan adalah berbeza-beza mengikut keperluan
individu. Ada individu yang membuat simpanan dengan mengasingkan sebahagian wang
yang diterima untuk membeli kereta baharu. Ada pula individu yang berpuas hati dengan
menggunakan kereta lama dan simpanan dibuat untuk tujuan lain seperti bercuti ke luar
negara.
Terdapat beberapa kepentingan menyediakan belanjawan, salah satunya adalah
untuk mengelakkan pembaziran dengan mendahulukan barang yang penting dan yang perlu
sahaja. Kedua, penyediaan belanjawan membolehkan individu mengagihkan sebahagian
daripada pendapatan mereka untuk tujuan tabungan dalam menghadapi perkara di luar
jangkaan. Selain daripada itu belanjawan membolehkan individu mengimbangkan antara
perbelanjaan dengan pendapatan. Maka, perbelanjaan melebihi pendapatan tidak akan
berlaku. Oleh itu, individu dapat mengelak daripada berhutang. Belanjawan ini bukan sahaja
dapat memaksa individu tersebut merancang sebelum berbelanja malahan dapat digunakan
sebagai mekanisma kawalan perbelanjaan. Perbandingan jumlah perbelanjaan yang
dirancang dengan jumlah perbelanjaan yang sebenar pada setiap bulan dapat dilakukan.
Adalah penting untuk setiap individu merangka belanjawan. Untuk menjadi
seseorang yang celik kewangan, seseorang itu perlu menambah ilmu pengetahuan serta
mencari maklumat dan bantuan yang berkaitan dengan pengurusan kewangan agar dapat
menguruskan kewangan dengan bijak dan sistematik.
53