Page 151 - e-Dinamik
P. 151
CERPAN: KESEMPITAN HIDUP BUKANLAH JAMBATAN KEGAGALAN
Ahmad Khudzairi Khalid
Sepanjang Nasuhah belajar, tidak pernah Nasuhah lupa akan keluarganya. Setiap hari
Nasuhah akan menelefon ibu dan ayahnya untuk menanyakan khabar mereka sekeluarga. Pernah juga ibunya
mengadu kepada Nasuhah bahawa mereka sekeluarga hanya makan nasi dan telur dek kerana ayahnya sakit
dan tidak mampu bekerja buat sementara waktu. Duit yang diperolehi oleh Nasuhah ketika dia bekerja
digunakan sebaik mungkin untuk membeli buku pelajaran serta perbelanjaan seharian. Nasuhah juga pernah
makan sekali sehari. Alhamdulillah, Nasuhah dikurniakan kawan-kawan yang memahami. Sering kali Nasuhah
menerima duit daripada kawannya untuk dibelanjakan membeli makanan. Ada suatu hari, Nasuhah dipanggil
oleh pensyarahnya di bilik pensyarah di mana Nasuhah diminta untuk membayar duit buku secepat yang
mungkin. Nasuhah berfikir sejenak, jika dia membayar duit buku yang berharga RM50 itu, dia mahu makan apa
di kemudian hari? Lalu Nasuhah menanyakan kepada pensyarah tersebut bahawa bolehkah dia membayar
buku tersebut secara ansuran. Tergamam seketika pensyarah tersebut lalu menanyakan masalah yang dihadapi
oleh Nasuhah. Nasuhah menceritakan keadaannya sekarang. Duit belanja yang Nasuhah terima daripada
keluarganya hanyalah sebanyak RM100 sebulan sahaja. Setiap hari dia terpaksa ikat perut untuk membeli
makanan. Apabila kawan-kawannya ajak keluar, dia hanya mampu menggeleng dan tersenyum. Jauh dari sudut
hatinya, teringin sekali Nasuhah untuk keluar. Tapi apakan daya, Nasuhah hanya mampu tabah dengan
ketentuan Allah sahaja.
Cuti semester telah tiba, Nasuhah tidak merancang untuk pulang ke rumah kerana dia tidak
mempunyai duit yang cukup. Nasuhah amat merindui keluarganya namun dengan keadaan yang tidak
menyebelahi dirinya ini, dia hanya mampu menerima dengan hati terbuka. Lagipun Nasuhah tidak ingin
menyusahkan keluarganya. Waktu malam sudah menjelma, kelihatan Nasuhah seorang diri di dalam bilik
sedang menelaah pelajaran. Semua kawannya sudah pulang ke rumah masing-masing. Tidak dapat dinafikan,
semestinya Nasuhah berasa sunyi dan bosan. Aktiviti sehariannya dihabiskan dengan belajar dan juga bermain
telefon bimbit. Sedang Nasuhah baring di katil, dia tiba-tiba terfikir lebih bagus jika dia mencari kerja
sampingan sementara cuti semester berlangsung dan pada masa yang sama dapat menambah duit poketnya.
Sudah menjadi satu masalah sekiranya dia ingin bekerja di luar UiTM kerana pengangkutan sudah pasti
memerlukan kos yang banyak untuk ke tempat kerja. Lalu dia mengambil inisiatif yang lain dengan mencari
kerja di atas talian. Dia terjumpa satu iklan mengenai pencarian ‘dropship’. Dropship? Apakah itu dropship?
Nasuhah membebel seorang. Perasaan ingin tahu dalam diri Nasuhah menyebabkan dia terus menghantar
mesej kepada nombor yang terpampang di iklan tersebut.
142