Page 148 - e-Dinamik
P. 148
CERPAN: NUR KASIH CHARITY SHOP
Aishah Mahat, Maryam Haji Ahmad Shafie
Perniagaan pakaian atau barangan terpakai biasanya dipandang remeh oleh sesetengah pihak, namun bagi
Puan Hajah Maryam perniagaan ini merupakan sumber dana utama untuk menampung keperluan harian 75
orang anak-anak yatim dan asnaf di Pertubuhan Kebajikan & Pendidikan Nur Kasih.
Bermula sekitar lima tahun yang lalu, hanya sebuah pintu kedai pakaian terpakai dibina tetapi
kini ia memiliki sebanyak dua buah cawangan dan kedai pakaian tersebut dibesarkan sehingga menjadi tiga
pintu. Idea bagi membuka perniagaan pakaian atau barangan terpakai ini terhasil apabila melihat lambakan
pakaian yang dihantar oleh tetamu ke rumah anak yatim. Setiap kali tetamu yang datang menziarahi anak-anak
yatim ini, mereka akan membawa pakaian terpakai. Sekiranya hendak ditolak penerimaan mereka, nanti
dikatakan anak yatim ini memilih pula. Jikalau diterima pakaian tersebut pula akan menjadi lambakan kerana
pakaian tersebut terlalu banyak dan saiznya tidak menepati badan anak-anak yatim yang sedia ada di asrama
tersebut.
Akhirnya apabila terlalu banyak pakaian yang terkumpul, maka Puan Hajah Maryam selaku
Pengurus Pertubuhan Kebajikan & Pendidikan Nur Kasih terfikir ia perlu dimanfaatkan dengan membuka
sebuah kedai pakaian terpakai. Kedai tersebut pada mulanya merupakan kedai kepunyaan ibu mertua yang
kemudian diwakafkan kepada Pertubuhan Kebajikan & Pendidikan Nur Kasih.
Bermula pada bulan November 2014, Nur Kasih Charity Shop didaftarkan di Syarikat
Suruhanjaya Malaysia. Uniknya operasi Nur Kasih Charity Shop yang dijalankan oleh Puan Hajah Maryam ini
tidak sama seperti operasi kedai pakaian terpakai yang lain. Kebanyakan kedai pakaian terpakai akan
mengimport pakaian sama ada dari Jepun, Korea, Singapura, Kanada, Australia dan Amerika Syarikat. Namun
Nur Kasih Charity Shop tidak pernah membeli pakaian terpakai tersebut sebaliknya ia diberi secara percuma
oleh orang ramai.
Mungkin ada yang terfikir, sekiranya orang memberi pakaian percuma biasanya akan
kelihatan lusuh, koyak dan tidak cantik. Anehnya, kesemua pakaian yang dihantar ke Nur Kasih Charity Shop,
bukan sahaja masih baik, malah ada yang berjenama dan boleh dijual semula dengan harga yang mahal.
Buktinya pada peringkat awal pembukaan kedai ini, hasil jualan adalah sekitar RM 50 – RM 100 sehari tetapi
kini mampu mencecah RM500 ke atas sehari.
Apabila semakin ramai yang mengenali dan mengetahui tentang kewujudan Nur Kasih
Charity Shop ini dengan kualiti pakaian yang masih cantik, akhirnya mereka yang datang ke kedai tersebut
bukan sahaja merupakan peruncit tetapi kebanyakan yang membeli adalah daripada pemborong-pemborong
luar. Mereka membeli dengan harga borong dan menjualnya semula di pasar malam, pasar pagi, car boot sale
malah ada yang membuka kedai pakaian terpakai di kampung-kampung.
139