Page 149 - e-Dinamik
P. 149
CERPAN: NUR KASIH CHARITY SHOP
Aishah Mahat, Maryam Haji Ahmad Shafie
Secara tidak langsung, konsep menderma pakaian terpakai ini sangat memberi manfaat bukan sahaja kepada
anak-anak yatim dan asnaf, malah ia membuka peluang perniagaan kepada para asnaf untuk mencari
pendapatan bagi menjana kehidupan keluarga sendiri.
Pada bulan Disember 2014, pada waktu itu negeri Kelantan dilanda banjir kuning umpama
tsunami. Hampir seluruh negeri di Malaysia menghantar bantuan termasuk menghantar pakaian terpakai. Pada
waktu tersebut, lambakan baju semakin banyak sehingga mangsa banjir tidak mahu menerima lambakan
pakaian terpakai tersebut. Dipendekkan cerita, kebanyakan ahli jawatankuasa masjid di Kelantan juga telah
membuat pengumpulan pakaian serta tidak tahu ke mana pakaian tersebut perlu disalurkan. Rupa-rupanya
semua pakaian tersebut adalah rezeki Nur Kasih Charity Shop. Bertalu-talu panggilan telefon diterima untuk
mengambil pakaian yang mereka kumpulkan. Lori sebesar tiga tan disewa untuk mengambil pakaian tersebut.
Akhirnya sebanyak 20 tan pakaian terpakai dapat dikumpulkan pada waktu itu. Apa yang dibuat dengan
pakaian sebanyak itu?
Pada waktu yang sama, sebuah syarikat yang membeli pakaian terpakai ini dihubungi supaya
mereka dapat memilih dan menjual pakaian tersebut ke negara lain seperti Indonesia, Bangladesh dan India.
Syarikat tersebut membeli dengan nilai 1kg pakaian dengan harga RM1.00 Bayangkan pada ketika Kelantan
dilanda banjir, Nur Kasih Charity Shop dapat menjana pendapatan sebanyak hampir RM20,000.00
Begitulah perjalanan pengalaman dalam mengembangkan kedai Nur Kasih Charity Shop ini.
Walaupun banyak cabaran dan dugaan, namun ia menjadi sebuah kebanggaan kerana dengan ini ia dapat
mengembangkan lagi perniagaan serta melahirkan sebuah cawangan baru bagi Pertubuhan Kebajikan &
Pendidikan Nur Kasih.
Selama beberapa tahun berniaga, Nur Kasih Charity Shop banyak mendapat liputan daripada
pelbagai pihak seperti wartawan akhbar, wartawan media online dan media massa. Ini semua amat membantu
perniagaan agar lebih dikenali oleh masyarakat di luar. Sehingga kini pada setiap hari kedai ini mendapat
sumbangan pakaian terpakai dengan banyak yang dihantar oleh penyumbang-penyumbang yang tidak dikenali
serta datang daripada pelbagai pelosok negeri. Ada yang menggunakan khidmat pos untuk menghantar
pakaian terpakai. Kenapa mereka sanggup mengeluarkan kos yang tinggi hanya untuk sedekah pakaian
terpakai? Inilah kelebihan Nur Kasih Charity Shop kerana mereka yakin setiap daripada keuntungan jualan
tersebut akan disalurkan kepada anak-anak yatim dan asnaf yang memerlukan sokongan dan bantuan di bawah
Pertubuhan Kebajikan & Pendidikan Nur Kasih. Diharap masyarakat semakin peka untuk terus memberi
sokongan kepada Nur Kasih Charity Shop.
140