Page 285 - e-Dinamik
P. 285
Walaubagaimanapun, tuntutan mut’ah oleh bekas isteri boleh ditolak Mahkamah atas
beberapa faktor, antaranya apabila isteri bersetuju dalam perjanjian yang dibuat selepas perceraian
bahawa dia tidak akan menuntut mut'ah daripada suaminya dan sekiranya perceraian yang berlaku
itu adalah melalui tuntutan fasakh dengan alasan terdapatnya aib di pihak isteri.
Harta sepencarian adalah merujuk kepada harta yang diperolehi atau dimiliki oleh
bekas suami isteri semasa dalam tempoh perkahwinan. Harta ini merujuk kepada wang ringgit, harta
boleh alih dan harta tak boleh alih. Harta yang asalnya milik suami sebelum berkahwin akan kembali
kepada suami selepas berlaku perceraian. Begitu juga harta isteri yang dimiliki sebelum
perkahwinan akan kembali kepada isteri.
Tunggakan nafkah adalah nafkah yang tidak ditunaikan oleh suami kepada isterinya
sepanjang tempoh perkahwinan. Ianya dianggap hutang dan wajib diselesaikan oleh bekas suami.
Tunggakan nafkah ini juga termasuk tunggakan nafkah terhadap anak.
Isteri juga berhak untuk mendapatkan hak hadhanah. Hadhanah bermaksud hak
penjagaan anak yang masih kecil yang belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri.
Mengikut syarak dan undang-undang islam, sekiranya anak dibawah umur tujuh tahun (anak lelaki)
dan sembilan tahun (anak perempuan), hak penjagaannya adalah jatuh kepada ibu.
Bagi anak yang sudah berusia melebihi daripada umur yang dinyatakan di atas,
mahkamah akan memberikan hak penjagaan anak berdasarkan pilihan yang dibuat oleh anak-anak
tersebut, sama ada hendak tinggal bersama ibu atau ayah.
Bekas suami juga wajib membayar nafkah anak tidak kira sama ada anak itu berada
di dalam penjagaannya, bekas isterinya atau orang lain. Bayaran nafkah ini adalah wajib dan
dianggap sebagai hutang sekiranya ianya tidak dilunaskan.
Sepanjang di dalam tempoh iddah, bekas isteri juga berhak untuk mendapatkan hak
tempat tinggal. Hak tempat tinggal di sini merujuk kepada rumah yang biasa bekas isteri tinggal
semasa di dalam tempoh perkahwinan. Makanya, bekas suami hendaklah menyediakan hak tempat
tinggal ini untuk memastikan keselamatan dan keselesaan bekas isteri dan anak-anak terjamin.
Segala hak-hak ini boleh dituntut oleh bekas isteri di mahkamah. Mahkamah boleh
memutuskan untuk bekas suami menyediakan segala hak dan keperluan bekas isteri dan anak-
anak. Bayaran yang perlu dibayar kepada bekas isteri dan anak-anak boleh dibuat secara bayaran
terus atau secara ansuran. Bekas isteri boleh membuat aduan kepada mahkamah sekiranya bekas
suami gagal membuat bayaran nafkah dan menunaikan hak bekas isteri selepas perceraian.
Segala hak yang diberikan kepada bekas isteri ini membuktikan bahawa Islam
sangat menjaga maslahah isteri dan anak-anak selepas berlakunya perceraian yang semestinya
memberi kesan kepada emosi dan kehidupan isteri. Ianya diharap dapat meringankan beban
kewangan dan membantu bekas isteri untuk memulakan kehidupan baru.
275