Page 289 - e-Dinamik
P. 289

Kutu Di sisi Undang-Undang Malaysia.

                    Oleh Siti Mariam Atan, Rosnani Mohd Salleh & Norintan Wahab


          Adakah anda pernah dengar atau terlibat dengan skim wang kutu? Apakah dia skim wang kutu? Skim
          wang kutu secara popularnya dikenali sebagai “main kutu” atau “duit kutu”. Secara umumnya main kutu

          adalah satu skim di mana peserta menabung wang secara berkumpulan. Pada kebiasaannya satu
          kumpulan kutu disertai oleh 5 hingga 12 orang peserta.
                     Setiap peserta perlu mencabut undi untuk menentukan giliran masing-masing bagi
          menerima wang yang dikumpulkan. Seorang “ibu kutu” akan dilantik untuk mengutip wang dari setiap

          peserta dan mengagihkannya kepada peserta-peserta mengikut giliran yang telah ditetapkan.
                     Skim kutu boleh digunakan sebagai satu kaedah untuk menabung wang bagi memenuhi
          pelbagai hajat dan juga keperluan peserta seperti membeli barangan yang mahal, membayar insuran
          kereta, menampung kos keperluan persekolahan anak-anak pada awal tahun dan sebagainya.

                     Pernahkan anda berfikir samada “main kutu” dibolehkan di sisi Undang-Undang Malaysia?
          Undang-Undang yang berkaitan dengan kutu ialah Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta
          28). Seksyen 3 Akta ini memperuntukkan bahawa adalah salah di sisi Undang-Undang bagi seseorang
          untuk menjalankan perniagaan menganjurkan kumpulan wang kutu. Seseorang yang disabitkan

          melakukan kesalahan di bawah seksyen ini akan didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan
          selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
                     Tahukah anda, terdapat dua jenis skim kutu iaitu kutu jenis perniagaan dan jenis tradisional.
          Kutu jenis perniagaan dijalankan untuk tujuan mendapatkan keuntungan. Keuntungan boleh diperolehi

          melalui fees yang dikenakan ke atas peserta.
                     Manakala kutu tradisional pula dijalankan bukan atas dasar keuntungan. Sebaliknya, ia
          dianjurkan atas dasar kemasyarakatan dan kepercayaan. Kutu jenis ini lazimnya di lakukan dalam
          kalangan ahli keluarga, saudara mara, jiran tetangga, sahabat handai atau rakan sekerja.

                     Berdasarkan seksyen 3, hanya kutu jenis perniagaan sahaja yang dilarang di sisi Undang-
          Undang Malaysia. Kutu tradisional tidak termasuk dalam Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971
          kerana ia tidak bermotifkan keuntungan. Kutu tradisional hanya mengembalikan jumlah wang yang
          disumbangkan oleh peserta mengikut giliran masing-masing.

                     Meskipun undang-undang Malaysia tidak melarang kutu tradisional, namun masyarakat
          perlulah cakna dan berhati-hati sekiranya ingin menyertai skim kutu tradisional agar tidak tertipu oleh
          penganjur yang tidak amanah dan tidak jujur di dalam menguruskan wang kutu.








   279
   284   285   286   287   288   289   290   291   292   293   294