Page 286 - e-Dinamik
P. 286
Makan Atas Risiko Sendiri?
Oleh Zuramaznum Sainan, Alizah Ali, Norintan Wahab
Pengusaha industri makanan di Malaysia sentiasa bersaing dalam mencipta resepi makanan
atau hidangan yang unik dan luarbiasa bagi menarik perhatian pelanggan. Dalam usaha tersebut maka
muncul lah hidangan “extra cheese leleh”, “extra hot & spicy”, “extra creamy” dan berbagai lagi slogan yang
boleh menambat hati pelanggan.
Baru-baru ini, terdapat sebuah syarikat makanan segera yang memperkenalkan produk ayam
goreng “extra spicy” yang menggunakn pelbagai jenis cili dan rempah. Seperti yang diharapkan, hidangan
tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan yang sukakan makanan pedas.
Malangnya terdapat segelintir pelanggan mereka yang mengalami gangguan usus dan sakit
perut selepas menikmati makanan tersebut. Perkara ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan
pelanggan ke atas syarikat berkenaan. Namun, pihak syarikat tidak gentar dan tidak melayani aduan
pelanggan kerana pihak syarikat telah memberi peringatan pada iklan promosi makanan tersebut yang
mengatakan “makan atas risiko sendiri”. Pelanggan pula sepatutnya peka dan mengenalpasti tahap
kepedasan masing-masing.
Peringatan “makan atas risiko sendiri” bermaksud pelanggan mesti menanggung sendiri
sebarang risiko selepas mengambil makanan daripada produk syarikat tersebut dan dia tidak boleh membuat
sebarang tuntutan kepada syarikat. Ironinya, syarikat tidak bertanggungjawab ke atas sebarang aduan dan
masalah yang dihadapi pelanggan. Kesan dari situasi ini, ada pihak yang marah dan menganggap amaran
sedemikian sebagai satu helah syarikat untuk berlepas tangan atas nasib yang menimpa pelanggan mereka.
Dari segi undang-undang, pengeluar dan penyedia makanan haruslah mematuhi semua
standard atau spesifikasi yang telah ditetapkan di bawah Akta Makanan 1983 dan juga mana-mana peraturan
yang dibuat di bawah Akta ini seperti Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan
Kebersihan Makanan 2009.
Merujuk kepada seksyen 13 Akta Makanan 1983, sesiapa yang menyediakan atau menjual
makanan yang terkandung didalamnya sebarang bahan beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan,
maka dia telah melakukan kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi Satu Ratus Ribu
Ringgit (RM100,000) atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.
Dalam menentukan sama ada sesuatu makanan itu memudaratkan atau tidak, perhatian
hendaklah diberikan kepada kesan kesihatan si pengambil makanan. Terdapat dua kesan utama tahap
kesihatan, iaitu kesan akut (jangka masa pendek) dan kronik (jangka masa panjang).
276