Page 311 - e-Dinamik
P. 311
Sambal Kacang Daging Resepi Mak Teh
Oleh Siti Mariam Atan, Rosnani Mohd Salleh & Norintan Wahab
Setiap kali tiba Hari Raya Aidilfitri, sambal kacang daging menjadi juadah wajib yang dsediakan oleh
ibu mertuaku. Orang kampung memanggil ibu mertuaku dengan panggilan Mak Teh. Begitu juga
dengan suamiku, memanggil ibu mertuaku dengan nama panggilan yang sama kerana beliau
merupakan ibu tiri kepada suamiku.
Arwah bapa mertuaku mengahwini Mak Teh setelah ibu kandung suamiku meninggal
dunia dalam satu kemalangan jalan raya. Ketika itu suamiku baru berusia 6 tahun. Sejak itu, suamiku
dipelihara oleh Mak Teh.
Mak Teh memelihara dan menyayangi suamiku seperti anak kandung sendiri. Oleh itu
Mak Teh pasti tidak lupa memasak sambal kacang daging setiap kali hari raya kerana ia merupakan
salah satu makanan kegemaran suamiku.
Kini, sambal kacang daging ini juga telah menjadi antara makanan kegemaranku.
Malah keenakan rasa sambal kacang daging ini juga telah berjaya menambat hati ibuku. Justeru itu,
pada Hari Raya Aidilfitri yang lepas, ibuku telah memintaku untuk memasak sambal kacang daging
resepi Mak Teh.
Maka, aku pun berguru dengan ibu mertuaku cara-cara memasak sambal kacang
daging melalui telefon. Selesai menuntut ilmu yang perlu, aku terus mencuba resepi ibu mertuaku. Aku
memasak dengan penuh harapan dan iringan doa agar masakanku menjadi dan sedap seperti
masakan yang ibu mertuaku sediakan.
Setelah sambal kacang siap dimasak, aku telah meminta ibuku merasa masakanku.
Hatiku berbunga apabila ibuku memuji masakanku. Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah. Bisik hati
kecilku.
Usai solat Hari Raya dan setelah bermaaf-maafan dengan kedua ibubapaku dan juga
sanak saudara yang pulang ke kampung, aku beserta suami dan anak-anakku balik ke kampung Mak
Teh untuk meraikan hari lebaran yang mulia bersama ibu mertuaku pula.
Aku bawa pulang bersama ketupat, rendang ayam, kuah lodeh dan tidak ketinggalan
sambal kacang daging resepi Mak The untuk Mak The rasa. Setibanya aku di rumah Mak Teh, aku
segera menghidangkan makanan yang aku bawa di atas meja.
Tak sabar aku menunggu komen dari ibu mertuaku, “Ha. Jadi sambal ni. Sedap!” Kata
ibu mertuaku. Aku tersenyum lebar hingga ke telinga mendengar kata-katanya. Alhamdulillah. Sekali
lagi aku melafazkan rasa syukur ke hadrat Nya.
301