Page 307 - e-Dinamik
P. 307
“Jadi macammana boleh tugasan kamu hampir sama? Kamu tahu maksud plagiat? Plagiat maksudnya kamu
gunakan penulisan penulis lain tanpa pengetahuannya. Sepatutnya sekiranya kamu ingin memetik penulisan
penulis lain, kamu perlu dedahkan nama penulis sebenar di muka surat terakhir di bahagian rujukan. Tapi
meniru penulisan orang lain dengan cara mencuri maklumat adalah perbuatan yang sangat salah dan berat.
Jika tiada siapa pun mengaku, saya terpaksa bawa hal ini ke Tatatertib. Biar Rektor Kampus kita bicarakan
agar dapat keputusan yang adil. Kamu berdua boleh balik” arah saya.
Malik dan Riduan kedua-duanya nampak resah gelisah. Mereka melangkah lemah keluar
dari pejabat saya. Umur majoriti siswa yang mendaftar subjek saya adalah sekitar 19 tahun. Saya akui
mereka masih mentah dalam hal penulisan akademik. Oleh itu saya sering mengingatkan siswa supaya
memberi kredit kepada penulis asal jika ingin menggunakan idea mereka di dalam tugasan. Cara memberi
kredit adalah melalui nota kaki dan mencatat sumber rujukan di muka surat terakhir tugasan. Jika tiada kredit
dibuat, perbuatan plagiat ini adalah satu penipuan intelek. Ia juga dianggap penghinaan kepada dunia
akademik.
Saya percaya keprihatinan siswa terhadap isu plagiat ini boleh menyuburkan sikap positif
dalam diri mereka. Berlaku jujur dalam setiap perbuatan. Siswa yang berjaya mengekalkan sifat jujur dalam
tempoh pengajian mampu menghasilkan sumber manusia yang berkualiti. Saya juga percaya ketulusan
siswa perlu dilentur dari semester pertama.
Ketika saya sedang berkira-kira untuk membuat laporan kepada Polis Bantuan mengenai isu
Malik dan Riduan, saya menerima kunjungan yang diharapkan. Riduan hadir ke pejabat saya dan mengaku
bahawa beliau telah meminjam komputer riba Malik bagi tujuan menyiapkan tugasan subjek saya. Kemudian
beliau terlihat satu fail yang mengandungi tugasan Malik. Kebetulan soalan tugasan mereka adalah sama.
Tanpa berfikir panjang, Riduan menyalin tugasan Malik di dalam pemacu penanya. Masa menyiapkan
tugasan semakin suntuk dan Riduan memplagiat hasil kerja Malik. Riduan amat menyesal dan berjanji tidak
akan mengulangi lagi perbuatan serupa.
Setelah saya berfikir sewajarnya, saya memberi tempoh selama 5 jam sahaja kepada Riduan
untuk menyiapkan satu tugasan baru. Sekiranya beliau gagal, saya tidak akan memberikan markah langsung
untuk 10 markah tugasan. Saya ingin mengajar Riduan untuk menghormati kemampuan diri sendiri,
menghargai akal yang Allah kurniakan dan mensyukuri kemudahan yang UiTM sediakan untuk siswa
sepertinya. Sesungguhnya yang paling utama ialah jujur dengan diri sendiri.
Plagiat bukan suratan, bukan juga kebetulan tetapi satu penipuan.
297