Page 308 - e-Dinamik
P. 308
Sambal Tahun Sg Sumun Hajah Esah Zakaria
Oleh Noraini Ismail
Di awal usia saya sebagai seorang menantu, emak mertua saya masih sihat dan cergas.
Emak dan ayah mertua tinggal di sebuah rumah pusaka keluarga suami yang terletak di Parit 9 Sungai
Sumun Perak. Kami tidaklah selalu balik menziarahi mereka lantaran jarak yang agak jauh dari Johor ke
Perak, namun kami pastikan sekurang-kurangnya setiap kali kenduri menyambut Ramadhan, kenduri kahwin
adik beradik dan sambutan Aidilfitri serta Aidiladha, kami akan bersama-sama memeriahkan suasana.
Setiap kali pulang menjenguk emak, kami lazimnya akan menanti emak memasak lauk yang
ringkas namun amat lazat bagi kami. Bukannya kami malas memasak tapi lauk yang dimasak emak terasa
enak dan istimewa. Emak akan selalunya menyediakan masak lemak pucuk geti atau turi dicampur kerang.
Biasanya anak atau cucu lelaki akan diminta emak untuk memetik daun geti di hadapan rumah. Lawan pula
dengan sambal belacan cili api kampung yang ditumbuk bersama belacan bakar dan hirisan mempelam telur
muda. Emak akan menggoreng garing ikan kembong atau ikan selayang. Periuk nasi dengan timbunan nasi
putih berasap akan dihidang terus di sisi sedulang dua lauk, menunggu kami anak menantu dan cucu yang
asyik kelaparan.
Namun ada sejenis lagi lauk masakan emak yang amat istimewa bagi saya yang saya ingin
kongsi bersama pembaca warga UiTM. Lauk istimewa ini dipanggil Sambal Tahun atau Taun. Sambal tahun
merupakan makanan tradisi orang jawa. Walaupun ia disebut sambal, ia bukanlah sejenis masakan kering.
Sambal Tahun ini merupakan masakan berkuah. Kebiasaannya, lauk yang digunakan ialah isi kerang, kulit
lembu, perut lembu, pedal ayam, hati ayam atau paru lembu. Emak kata ia dipanggil sambal tahun sebab ia
tahan bertahun, maksud emak masakan ini tahan lama, diibaratkan macam bertahun-tahun, jika selalu
dipanaskan. Ibarat sahaja ya..
Emak akan menggunakan periuk tanah khusus untuk memasak sambal tahun dan
menggunakan senduk tempurung kelapa untuk mengacau kuah sepanjang tempoh memasak. Saya duga dua
elemen alami ini membuatkan lauk emak bertambah lazat. Saya kongsikan resepi Sambal Tahun Hajah Esah
Zakaria.
298