Page 312 - Dimensi Baharu Zakat di Malaysia
P. 312

© DIMENSI BAHARU ZAKAT DI MALAYSIA
                                                            ISBN 978-967-2959-04-5

            hidup  mereka  dengan  memenuhi  keperluan  asas  seperti  bantuan
            perubatan,  saran  bulanan,  makanan,  sewa  rumah  dan  lain-lain.
            Bantuan  produktif  pula  merujuk  kepada  bantuan  bersifat  jangka
            panjang menerusi suntikan modal seperti wang tunai dan peralatan
            bagi  membantu  golongan  asnaf  mengubah  kehidupan  mereka  ke
            tahap yang lebih baik (Fatimah, 2014).
               Dalam usaha mentransformasikan asnaf daripada kelompok sara
            diri   kepada   kelompok     produktif,   institusi   zakat   telah
            memperkenalkan  bantuan  modal  buat  asnaf  yang  berminat  untuk
            menceburi  sektor  keusahawanan.  Inisiatif  ini  digerakkan  melalui
            pelaksanaan program jangka  panjang  bagi  merealisasikan agenda
            pembasmian  kemiskinan,  memandangkan  isu  kemiskinan  perlu
            ditangani  secara  berterusan  dan  bukannya  secara  bermusim
            (occasional)  sahaja.  Menurut  Wan  Sabri  (2009),  Majlis  Agama
            Islam  Negeri  Sembilan  merupakan  institusi  zakat  pertama  yang
            memperkenalkan  bantuan  seumpama  ini  di  Malaysia  iaitu  pada
            tahun 2004. Usaha ini kemudiannya diikuti oleh institusi zakat lain
            seperti Selangor, Wilayah Persekutuan dan Terengganu. Selangor
            dan Wilayah Persekutuan dilihat lebih agresif dalam melaksanakan
            program ini disebabkan jumlah kutipan dana zakatnya yang lebih
            tinggi serta sumber kakitangan yang mencukupi dan berkemahiran
            dalam mengendalikan program usahawan asnaf ini (Azman, 2014).
               Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah mengambil inisiatif bagi
            mempertingkatkan potensi ekonomi dan taraf hidup kumpulan asnaf
            secara  mapan  dan  komprehensif  menerusi  pelaksanaan  Program
            Pembangunan Ekonomi (PPE). Model transformasi usahawan asnaf
            yang  diperkenalkan  ini  bertujuan  mencungkil  bakat  dan  potensi
            dalam  kalangan  asnaf  untuk  menceburi  sektor  keusahawanan.
            Pendekatan  ini  dilihat  lebih  efektif  sebagai  nilai  tambah  kepada
            bantuan  sara  diri  yang  diberikan  secara  tetap  setiap  bulan.  Ini
            menjadikan  setiap  asnaf  mempunyai  inisiatif  kendiri  dan  mampu
            berdikari bagi menjana pendapatan sendiri sekaligus meningkatkan
            kualiti  kehidupan  diri  dan  keluarga  tanpa  perlu  terus  bergantung
            kepada bantuan zakat.





                                                                          304

                                           305
   307   308   309   310   311   312   313   314   315   316   317