Page 20 - Amalan Terbaik Program Kesihatan Awam Negeri Melaka
P. 20
TAJUK PROJEK : Amalan Terbaik Pengurusan Klinik Rakan Bayi
LOKASI : Klinik Kesihatan Negeri Melaka
RINGKASAN EKSEKUTIF:
Perkhidmatan Klinik Rakan Bayi telah diperkenalkan oleh Bahagian Pemakanan,
Kementerian Kesihatan Malaysia sejak tahun 2005 dan telah dikaji semula pada tahun
2015. Aktiviti ini adalah kesinambungan daripada Inisiatif Hospital Rakan Bayi yang
dijalankan di peringkat hospital.
Objektif Perkhidmatan Klinik Rakan Bayi ini adalah untuk menyediakan persekitaran
yang menyokong, melindungi dan mempromosi penyusuan susu ibu bagi
meningkatkan kadar penyusuan susu ibu secara eksklusif dalam kalangan bayi
berumur enam bulan.
Pelaksanaan Perkhidmatan Klinik Rakan Bayi adalah sejajar dengan Matlamat
Pembangunan Lestari (Sustainable Develompent Goals, SDGs) 2016 hingga 2030 di
bawah Matlamat Utama "Kelaparan Sifar" iaitu menamatkan kelaparan, mencapai
jaminan makanan dan nutrisi yang lebih baik serta menggalakkan pertanian mampan.
Amalan Terbaik Perkhidmatan Klinik Rakan Bayi yang dijalankan di negeri Melaka
telah menerapkan 12 kriteria berbanding 9 Langkah Pelaksanaan Klinik Rakan Bayi
yang diperkenalkan oleh Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Empat strategi digunakan dalam pelaksanaan Amalan Terbaik Perkhidmatan Klinik
Rakan Bayi di negeri Melaka adalah meningkatkan tahap pengetahuan anggota
kesihatan, meningkatkan tahap pengetahuan ibu hamil dan ibu lepas bersalin,
meningkatkan penglibatkan komuniti dan inter - agensi serta menambahbaik
pengurusan data reten penyusuan susu ibu negeri Melaka.
Melalui pelaksanaan Amalan Terbaik Pengurusan Perkhidmatan Klinik Rakan Bayi
didapati:-
i) 88.3% (936/1,060 orang) anggota kesihatan yang memberikan perkhidmatan
kepada ibu dan bayi di klinik kesihatan telah diberi Latihan Pengurusan Laktasi 20
Jam dengan menggunakan peruntukan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP).
ii) 42 sesi Roadshow Penyusuan Susu Ibu telah dijalankan oleh Pegawai Sains
Pemakanan dan dibantu oleh anggota kejururawatan di klinik kesihatan di negeri
Melaka pada tahun 2019 untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran ibu
dalam penyusuan susu ibu.
iii) 27 agensi di negeri Melaka (kerajaan dan swasta) telah menandatangani
memorandum persefahaman dengan Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Melaka
untuk menyertai Inisiatif Tempat Kerja Mesra Ibu bagi penyediaan Bilik Penyusuan
Susu Ibu di tempat kerja masing-masing.