Page 17 - Penulisan Akademik (NPDL) TAY
P. 17
Sebaik sahaja menyandang Jawatan Utama Sektor Awam Gred C (JUSA C), penulis akan
mengikuti program Advanced Leadership and Management Programme (ALMP) bagi
menonjolkan keupayaan memimpin penulis.
Sebagai golongan pemikir holistik, penulis memiliki pelbagai kepakaran dan berupaya
menjadi pakar rujuk dalam merangka strategi menyeluruh dan menjalankan latihan yang tepat
untuk memastikan kejayaan sesebuah organisasi (KPM, 2016). Penulis akan menubuhkan
Persatuan Guru Besar Sekolah Pedalaman Malaysia yang bertujuan menjalinkan hubungan
profesional antara sekolah pedalaman di seluruh Malaysia di samping mengadakan usaha
bersama untuk mengangkat martabat sekolah pedalaman. Dengan kerjasama pakar-pakar
berpengalaman, penulis akan mengadakan seminar dan webinar perkongsian ilmu serta
pengalaman mengenai pedagogi dan cara pentadbiran untuk semua sekolah pedalaman
tanpa bayaran. Penulis akan menyediakan laman rasmi sebagai platform untuk para Guru
Besar berinteraksi tanpa mengambil kira perbezaan jarak fizikal. Simposium pembentangan
kertas kerja dan inovasi pendidikan sekolah pedalaman akan penulis adakan pada peringkat
kebangsaan dan antarabangsa sebagai wahana untuk para pentadbir bertukar fikiran dan
saling mempelajari. Penulis akan menyelidki dan merangka Model Kepimpinan Sekolah
Pedalaman dengan kolaborasi Guru Besar lain yang berpengalaman untuk dijadikan rujukan
para Guru Besar baharu. Penulis akan menjadi perantara antara sektor awam, sektor swasta
dengan sekolah pedalaman untuk membekalkan sokongan dana, bantuan teknologi dan
perkongsian pengetahuan serta kepakaran yang secukupnya kepada sekolah-sekolah yang
memerlukannya.
5.0 KESIMPULAN
Sebagai kesimpulannya, perkembangan profesionalisme mustahak bagi seseorang PPP
sepanjang tempoh penjawatannya. Para guru sewajarnya memanfaatkan Latihan Dalam
Perkhidmatan yang ditawarkan oleh pelbagai institut untuk memajukan diri daripada aspek
pengetahuan, kemahiran dan nilai profesionalisme (Muhammad Faizal & Abd. Khalil, 2015).
Insiatif guru dalam perancangan pelan pembangunan diri dan pembangunan kerjaya amat
penting untuk melahirkan para guru yang berwawasan, berpandangan jauh serta dapat
membuat keputusan berorientasikan matlamat jangka panjang. Sebagai pesanan kepada diri
penulis, proses pembelajaran adalah bersifat sepanjang hayat dan tidak terhenti pada saat
penerimaan Sijil Ijazah Sarjana Muda Perguruan. Penceburan dalam bidang pendidikan ialah
titik permulaan penerokaan ilmu dan kemahiran baharu seraya dengan pemikulan kewajipan
untuk mendidik anak bangsa ibu pertiwi. Dengan itu, nilai kerajinan dan bertanggungjawab
hendaklah dijadikan amalan sepanjang masa.
13

