Page 14 - Penulisan Akademik (NPDL) TAY
P. 14
Sebagai tampuk pimpinan baharu di sekolah pedalaman asal, penulis wajib memperkukuh
kemahiran profesionalisme sedia ada. Penulis akan menghadiri kursus kepimpinan untuk
menemukan gaya kepimpinan yang paling padan dengan diri dan berfaedah untuk sekolah.
Kajian Nurlaili dan Mohd Yusof (2018) menyatakan bahawa jenis gaya kepimpinan Guru
Besar berkait rapat dengan kepuasan kerja guru sekolah. Jika diperinci, kajian Baharuzaini et
al. (2016) mendapati bahawa gaya kepimpinan instruksional dan transformasional berupaya
meningkatkan tahap efikasi guru. Kedua-dua gaya kepimpinan wajar dilengkapi dengan
penerapan nilai melalui kursus kepimpinan berasaskan nilai untuk memastikan sistem
pentadbiran sekolah yang bersifat lebih holistik. Selain itu, penulis perlu arif dalam pengurusan
kewangan berpandukan Tatacara Pengurusan Kewangan dan Perakaunan Kumpulan Wang
Sekolah terbitan Bahagian Akaun KPM (2012). Sebagai tambahan, penulis juga harus
mempunyai kemahiran pengurusan strategik untuk menjana sesebuah oraganisasai yang
lebih proaktif dan berfikiran futuristik (Noraida et al., 2019). Perancangan strategik berupaya
meningkatkan semangat kerja berpasukan, memotivasikan staf dan menjalinkan kemesraan
antara semua staf melalui pewujudan kesefahaman tentang matlamat sekolah (Johaari &
Mahizer, 2020). Sebagai contohnya, penulis merangka program dengan mempertimbangkan
keperluan semasa dan masa depan sekolah secara rasional.
Daripada aspek penguasaan nilai dan etika profesionalisme, kursus peningkatan
integriti dan budaya kerja cemerlang adalah keperluan untuk semua guru tanpa mengira
perbezaan pangkat. Integriti dan budaya kerja individu mencerminkan sifat amanah, telus,
bertanggungjawab dan keikhlasan berkhidmat demi kepentingan awam (Megat Ayop & Abd.
Halim, 2016). Penulis sebagai Guru Besar berkewajipan mempraktikkan nilai integriti dan
mewujudkan iklim budaya kerja sekolah yang baik.
Bertitik tolak daripada segi pengurusan sekolah, penulis hendak memajukan fasiliti
dan kemudahan sekolah. Penulis wajar melakukan analisis keperluan dahulu sebelum
memanfaatkan peruntukan kerajaan untuk membaiki fasiliti sedia ada dan mendapatkan
kemudahan baharu. Kerjasama dengan pihak swasta dapat diwujudkan untuk memperbanyak
sokongan terhadap pemajuan sekolah. Berdasarkan lokasi yang strategik, penulis merancang
untuk memajukan sekolah pedalaman sebagai Sekolah Lestari, iaitu sekolah yang
membudayakan pendidikan alam sekitar dengan menerapkan nilai murni alam sekitar dalam
aspek pengurusan, kurikulum, kokurikulum dan penghijauan secara berterusan (Jabatan
Alam Sekitar et al., 2012). Sekolah pedalaman dapat mendirikan kebun sayur dan herba,
menghasilkan baja kompos, mewujudkan sudut hasil kraftangan kitar semula dan sudut
maklumat alam sekitar, menyertai inovasi alam sekitar dan pelbagai aktiviti bertemakan alam
sekitar dengan usaha bersama semua warga sekolah. Kejayaan ini dapat mengharumkan
nama sekolah dan mendapat peruntukan tambahan bagi memajukan sekolah
10

