Page 11 - Penulisan Akademik (NPDL) TAY
P. 11
markah murid untuk mengenal pasti pencapaian dan potensi akademik setiap murid (Chong,
2007). Pemantauan terhadap pencapaian semasa murid dapat memudahkan pihak sekolah
dapat menentukan hala tuju pencapaian murid dan memfokuskan tindakan untuk mencapai
matlamat kecemerlangan dan keberkesanan sekolah. Sebagai tambahan, penulis menghadiri
kursus masalah pembelajaran lalu mempraktikkan strategi pemulihan dan pendidikan khas.
Tindakan ini dapat memastikan semua murid mendapat pendidikan yang saksama diterima
guru tanpa syarat (Chiang, 2018). Salah satu contohnya ialah penyediaan bahan visual yang
besar dan jelas untuk murid kabur penglihatan.
Daripada aspek kemahiran profesionalisme, penulis akan menghadiri kursus
pentadbiran dan kepegawaian acara olahraga, permainan bola serta unit beruniform. Selaku
Leftenan Muda Kadet Remaja Sekolah, penulis akan melatih dan membawa kumpulan Tunas
Kadet Remaja Sekolah (TKRS) untuk menghadiri ujian kenaikan. Penulis akan mendaftarkan
kumpulan TKRS sekolah penulis dalam pertandingan dan perkhemahan pada peringkat
daerah dan seumpamanya. Bagi menyuburkan budaya penyelidikan, penulis akan melibatkan
diri dalam kursus kajian tindakan, analisis data dan penulisan artikel serta jurnal. Guru sebagai
agen perubahan perlu mengenal pasti masalah yang berlaku dalam proses PdPC dan
menemukan tindakan penyelesaian yang terbaik untuk menambah baik senario pendidikan
semasa (Arumugham, 2019). Antara misalnya termasuklah penghasilan rumus pembinaan
ayat secara mnemonik.
Selanjutnya, untuk penguasaan nilai dan etika profesionalisme, penulis hendak
menyertai kursus pengurusan tingkah laku dalam kurikulum untuk mengetahui jenis-jenis
perlakuan dan cara-cara menangani tingkah laku bermasalah dalam kalangan murid. Menurut
Noor Aini dan Norhafizah (2015), pengurusan tingkah laku memainkan peranan penting dalam
pembentukan tingkah laku positif, memberikan keyakinan diri serta meningkatkan pencapaian
akademik. Sebagai misalnya, penulis mempelajari cara menentukan dan melaksanakan
peraturan bilik darjah secara sistematik.
4.0 LALUAN KEPIMPINAN
Laluan kepimpinan merupakan haluan dalam bidang pengurusan dan pentadbiran pendidikan
bagi PPP yang memegang jawatan hakiki kepimpinan di sekolah dan institut pendidikan (KPM,
2016). Pada pendapat penulis, cabaran dalam laluan kepimpinan merupakan penjajaran hala
pembangunan sekolah dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dalam pada itu, kemahiran
pengurusan dan kompetensi kepimpinan memainkan peranan yang penting.
7

