Page 9 - Penulisan Akademik (NPDL) TAY
P. 9
Penulis sebagai Guru Baharu perlu menyertai Program Pembangunan Guru Baharu (PPGB),
yakni program berasaskan sekolah yang menyokong PPB melalui bimbingan berstruktur
melalui bimbingan Guru Mentor (BPG, 2015; Zahanim & Qurratu, 2018). Penulis akan
meminta tunjuk ajar daripada guru-guru sekolah mengenai budaya dan bahasa etnik
tempatan. Inisiatif sedemikian adalah wajar untuk merapatkan jurang komunikasi antara guru
dengan murid, memungkinkan pembelajaran persilangan budaya dan melancarkan proses
PdPC (Hemat, 2011; Samsudin, 2016). Sebagai misalnya, pembelajaran kosa kata bahasa
Melayu dapat dipermudah melalui penterjemahan kepada bahasa ibunda murid.
Daripada aspek penguasaan pengetahuan profesionalisme, penulis akan
memberikan penekanan pada pemantapan ilmu bidang pengkhususan, kaedah pedagogi dan
pengurusan kurikulum. Melalui penyertaan kursus perkongsian, peningkatan dan
pengaplikasian ilmu Bahasa Melayu, penulis dapat memperkukuh pengetahuan kandungan
bahasa Melayu untuk memastikan penyampaian ilmu yang benar secara yakin kepada anak
murid (Banegas, 2020). Penulis dapat menjadi rujukan kepada murid dalam persoalan bahasa.
Seterusnya, penulis akan menghadiri pelbagai seminar pedagogi terkini dalam talian untuk
memperoleh pengetahuan pedagogi baharu. Pengetahuan pedagogi yang mantap dapat
membantu penulis memindahkan isi pelajaran yang sukar kepada yang lebih mudah difahami
oleh murid pelbagai tahap keupayaan kognitif (Nicu, 2017). Sebagai contoh, penulis dapat
mencipta permainan bahasa melalui amalan pedagogi didik hibur untuk mengajarkan kosa
kata kepada murid-murid. Penyertaan dalam seminar penilaian dan pentaksiran dapat
memastikan pembinaan instrumen pentaksiran dan rubrik pemarkahan yang sejajar dengan
kehendak sistem pendidikan semasa. Sebagai misalnya, penyertaan seminar Pentaksiran
Berasaskan Sekolah dapat memahamkan penulis dengan cara penilaian prestasi murid.
Untuk penguasaan kemahiran profesionalisme, penulis akan mendapatkan sijil
kejurulatihan acara olahraga dan permainan bola. Jurulatih yang diiktiraf dapat memberikan
penjelasan yang komprehensif, menyediakan pelbagai bahan latihan, mempunyai orientasi
tugas yang tinggi dan mempelbagaikan pedagogi sukan (Mohd Faizal et al., 2013). Dengan
penyertaaan dalam Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia, interaksi antara sekolah
pedalaman tersebut dengan sekolah-sekolah bandar yang lain dapat digalakkan di samping
mewujudkan persaingan positif dalam kalangan murid sekolah. Nilai dan etika keguruan
merupakan kompetensi yang penting untuk mencerminkan martabat profesion keguruan.
Melalui penyertaan kursus pembangunan sahsiah cemerlang, penulis ingin membentuk
keperibadian mulia, bertatasusila dan komited melaksanakan tugas bagi menjadi suri teladan
kepada murid (Nurlina et al., 2018). Sebagai imbuhan, penulis ingin menghadiri kursus
protokol dan etiket sebagai bekalan untuk masa hadapan.
5

