Page 42 - AKTA MAKANAN 83
P. 42
1/16/2020 LawNet Malaysia
AKTA 281
Akta Makanan 1983 [Cetakan Semula 2005]
BAHAGIAN IV - PENGIMPORTAN, WARANTI DAN PEMBELAAN
Seksyen 29. Pengimportan
(1) Tertakluk kepada peruntukan subseksyen (2) dan (3), pengimportan apa-apa makanan yang tidak mematuhi
peruntukan Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya adalah dilarang.
(2) Jika sesuatu makanan yang hendak diimport ke dalam Malaysia adalah makanan diproses dalam bentuk
sempurna dan jika dijual dalam Malaysia akan menjadi suatu kesalahan berhubung dengan pelabelan maka makanan
itu boleh diimport ke dalam Malaysia bagi maksud melabelkannya semula supaya peruntukan Akta ini berhubung
dengan pelabelan dipatuhi.
(3) Jika sesuatu makanan yang hendak diimport ke dalam Malaysia adalah makanan mentah atau separa proses dan
jika dijual dalam Malaysia akan menjadi suatu kesalahan maka makanan itu boleh diimport ke dalam Malaysia bagi
maksud memproses semula atau memperbaiki mutu makanan itu supaya peruntukan Akta ini dipatuhi.
(4) Jika makanan yang sedemikian itu diimport ke dalam Malaysia bagi maksud pelabelan semula, pemprosesan
semula atau perbaikan mutu dan makanan itu tidak dilabel semula, diproses semula atau diperbaiki mutunya dalam
masa tiga bulan dari tarikh pengimportan, maka makanan itu hendaklah dieksport oleh pengeksport dalam tempoh
dua bulan atau sesuatu tempoh lain yang akan ditentukan oleh Menteri dan jika makanan itu tidak dieksport
sedemikian ia hendaklah dilucuthakkan dan dilupuskan sebagaimana yang diarahkan oleh Menteri.
(5) Pengarah boleh menghendaki pengimport supaya melabel semula atau memproses semula atau memperbaiki
mutu makanan itu di suatu kawasan ditetapkan di bawah penyeliaan seorang pegawai berkuasa untuk mempastikan
bahawa pelabelan semula, pemprosesan semula atau perbaikan mutu makanan itu mematuhi peruntukan Akta ini.
(6) Menteri boleh mengecualikan mana-mana makanan atau kelas makanan daripada peruntukan seksyen ini.
https://www.lawnet.com.my/lawlibrary/directsubdocumentdetailsExt/?SubdocumentID=329331 1/2