Page 190 - ANUGERAH GURU INOVATIF: INDIVIDU SEKOLAH RENDAH (NURUL NADIA)
P. 190
PENGENALAN INOVASI
Kaedah inovasi ini terhasil apabila mendapati masih terdapat ramai murid tahun 6 yang masih
belum dapat menguasai sifir malah terdapat murid yang terlalu lemah dalam sifir walaupun
menggunakan teknik hafalan sifir seperti yang dilakukan daripada zaman terdahulu lagi. Bagi
subjek Matematik, operasi darab diperkenalkan seawal Tahun 2 dengan penumpuan kepada sifir
2, 4, 5 dan 10 sahaja dan akan dikembangkan semasa mereka berada di Tahun 3. Justeru, apabila
murid melangkah ke tahap 2, sepatutnya murid telah menguasai operasi darab sepenuhnya.
Namun apa yang berlaku, masih terdapat murid Tahun 6 yang masih mempunyai masalah dalam
penguasaan sifir. Masalah ini telah dikenal pasti oleh pengkaji apabila murid diminta untuk
menjawab soalan sifir bertulis. Lazimnya, apabila murid-murid berhadapan dengan masalah
sebegini, mereka akan di minta untuk membina jadual sifir di atas kertas soalan mereka untuk
dirujuk. Namun begitu, mereka masih lagi terkial-kial dan mengambil masa yang terlalu lama untuk
menyiapkan jadual sifir tersebut.
Matlamat Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi mata pelajaran Matematik adalah
untuk membina pemahaman murid tentang konsep nombor, kemahiran asas dalam pengiraan,
memahami idea matematik yang mudah dan berketrampilan mengaplikasikan pengetahuan serta
kemahiran matematik secara berkesan dan bertanggungjawab dalam kehidupan seharian
(Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2014). Pernyataan ini sangat jelas menekankan kepentingan
menguasai kemahiran asas dalam pengiraan agar dapat diaplikasikan ke dalam kehidupan
seharian. Operasi darab adalah kemahiran asas yang sering menjadi cabaran bagi murid-murid
kerana perlunya pengiraan, bacaan dan hafalan sifir (Morrison, 2007). Justeru, kebanyakan murid
akan mula hilang minat terhadap matematik apabila tidak dapat memenuhi objektif pembelajaran
yang memerlukan kemahiran sifir dikuasai sebelum masuk ke topik-topik yang seterusnya.
iii