Page 43 - deunite_report
P. 43
DE’ UNITE: SHE 101 – HIMPUNAN LAPORAN TEKNIKAL PROJEK PELAJAR
1. Penghargaan
Bersyukur kehadrat Ilahi dengan limpahan kurnia dan titipan syukur terhadap Allah S.W.T Tuhan
sekalian alam atas segala rahmat yang dicurahkan kepada hambaNya. Dengan hati yang tulus ikhlas
semua ahli kumpulan kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih
kepada semua individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung untuk membantu kami dalam
melaksanakan kajian untuk subjek SHE 101 Hubungan Etnik ini. Tanpa sebarang bantuan dan dorongan
daripada semua pihak, kami tidak akan dapat menghasilkan laporan akhir kajian ini dengan sempurna
dan dihantar pada tempoh yang ditetapkan. Pertama sekali beribu penghargaan dan ucapan terima
kasih kami tujukan kepada Dr Isham Shah bin Hassan yang telah banyak memberikan sokongan dan
tunjuk ajar dalam tempoh projek kajian ini berjalan. Selain itu , penghargaan diberikan kepada pelajar
senior yang banyak memberikan tunjuk ajar yang berguna kepada kami . Penghargaan juga diberikan
kepada orang awam yang telah banyak terlibat dalam membantu proses penghasilan kajian ini. Tanpa
mereka , kajian ini tidak dapat dihasilkan.
Ingin kami berterima kasih juga kepada ibu bapa kami yang banyak membantu dalam pelbagai
aspek seperti doa, kewangan dan sokongan. Penghargaan juga turut diberikan kepada ahli kumpulan
kami yang telah banyak memberi kerjasama dan bertungkus lumus sepanjang merealisasikan aktiviti
kajian sosial ini. Tidak lupa juga kepada pensyarah-pensyarah Politeknik Port Dickson dan Universiti
Sains Malaysia kerana turut memberi pandangan dan panduan dari permulaan aktiviti hinggalah ke
akhir kerja penulisan kajian ini. Terima kasih.
2. Pendahuluan
Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada rakyatnya yang berbilang kaum, budaya
dan agama. Kaum utama yang terdapat di negara ini ialah Melayu, Cina dan India disamping etnik yang
terdapat di Sabah dan Sarawak seperti etnik Dusun, Murut, Bajau, Kadazan, Iban, Dayak dan
sebagainya. Kepelbagaian inilah yang menjadi tunjang kepada pembangunan negara yang semakan
pesat terutama dalam aspek Pelancongan yang dipacu oleh kepelbagaian etnik di Malaysia.
Walaubagaimanapun, tunjang negara akan menjadi lemah apabila semangat patriotik dalam kalangan
masyarakat di Malaysia tidak dipupukkan.
Hubungan di antara etnik yang pelbagai berkait rapat dengan seluruh struktur sosial masyarakat.
Hal ini demikian kerana hubungan etnik ini dapat mencerminkan sifat sesuatu struktur sosial
masyarakat, mencerminkan keadaan sosial dan ikatan sosial keseluruhan dalam masyarakat, memberi
pemahaman mengenai darjah pluralisme sosial dan kebudayaan serta punca konflik, mencerminkan
darjah dan sumber ketegangan sosial dalam sesebuah komuniti, memahami isu prasangka dan
diskriminasi di sesebuah negara, menggambarkan peranan faktor personaliti dalam menentukan
tingkah laku ahli masyarakat dan mempengaruhi dasar sosial serta perancangan sosial (Zaid et al.,
2006).
Negara Malaysia mempunyai lebih daripada 70 kumpulan etnik. Ditambah dengan kelompok yang
mewakili sub-etnik, kumpulan bahasa dan dialek maka jumlahnya melebihi 200 kumpulan. Meskipun
berada dalam komposisi etnik, budaya dan bahasa yang begitu kompleks, Malaysia berjaya
mengekalkan keharmonian dan kerukunan dalam kehidupan bermasyarakat serta pencapaian
pembangunan negara. Justeru, keunikan tadbir urus negara dalam mengolah perpaduan dalam
kepelbagaian merupakan suatu perkara yang amat penting. Ini kerana, aspek tadbir urus dalam
kepelbagaian ini membawa kepada kefahaman terhadap proses kesepaduan sosial dalam kehidupan
masyarakat (Shamsul Amri, 2012).
38 | D e ’ U n i t e