Page 3 - Tugasan Projek Kumpulan 1
P. 3
Selain pengambilan makanan tidak seimbang, merokok dan alkohol, masalah
emosi dan tekanan juga merupakan salah satu punca kesihatan merosot dan
kemudian timbulnya penyakit. World Health Organization (WHO) mengatakan,
kesihatan yang baik turut merangkumi kesihatan mental, bukan fizikal semata-
mata. Ini menunjukkan komponen kesihatan mental dalam kehidupan
seseorang sangat penting. Jika kesihatan mental terjejas, ia juga boleh
menyebabkan gejala fizikal kerana ia saling berhubung kait.
Kesihatan mental merujuk kepada tindak balas seseorang ketika berdepan
tekanan dan cara menanganinya. Situasi dan personaliti pada ketika itu adalah
faktor yang membentuk kesihatan mental seseorang. Tekanan boleh berpunca
daripada individu, jenis pekerjaan, tempoh bekerja yang panjang atau faktor
persekitaran. Konflik dalam kalangan teman sekerja atau ketua antara sebab
yang paling kerap ditemui. Kegagalan menangani kesihatan mental atau sering
mengalami gangguan mental mendedahkan individu kepada penyakit mental
lebih serius seperti kemurungan, kerisauan melampau, bipolar dan skizofrenia.
Keadaan ini menyebabkan timbulnya masalah kesihatan fizikal dan menjejaskan
kualiti kehidupan secara menyeluruh.
Persediaan kewangan atasi masalah kos
Gaya hidup masa kini yang serba pantas dan mencabar telah mengakibatkan
peningkatan masalah kesihatan dan penyakit yang ketara. Benar, situasi
kehidupan hari ini memang penuh dengan risiko, namun penjagaan kesihatan
sepatutnya tidak termasuk dalam risiko tersebut.
Sedar atau tidak, kemerosotan tahap kesihatan boleh menjejaskan kehidupan
secara menyeluruh apatah lagi jika anda tidak mempunyai kewangan mencukupi
untuk merawat dan mengubati penyakit yang dihidapi.
Persediaan perlu dilakukan sejak dari peringkat awal membina keluarga. Hidup
bukan hanya untuk cukup makanan dan pakaian. Sekecil mana pun pendapatan
yang diperoleh, agihan simpanan untuk saat-saat kecemasan terutamanya
ketika sakit perlu disediakan. Seiring dengan perubahan gaya hidup masyarakat
kini, kos sara hidup termasuk rawatan kesihatan semakin meningkat,
menyebabkan ramai yang terpaksa menangguhkan rawatan yang akhirnya
menjadi kritikal gara-gara masalah wang. Meskipun kemajuan teknologi dan
penemuan perubatan pada abad ini membanggakan, tetapi hakikatnya kos
penjagaan kesihatan tetap mahal.