Page 159 - eDinamik
P. 159
Sepanjang masa Nasuhah di universiti, tidak pernah dia lupa akan keluarganya. Setiap hari
Nasuhah akan menelefon ibu dan ayahnya untuk menanyakan khabar mereka sekeluarga.
Pernah juga ibunya mengadu bahawa mereka sekeluarga hanya makan nasi dan telur kerana
ayahnya sakit dan tidak mampu bekerja buat sementara waktu. Duit yang diperoleh Nasuhah
ketika dia bekerja digunakan sebaik mungkin untuk membeli buku pelajaran serta
perbelanjaan seharian. Nasuhah juga pernah makan hanya sekali sehari. Alhamdulillah,
Nasuhah dikurniakan kawan-kawan yang memahami. Sering kali Nasuhah menerima duit
daripada kawannya untuk membeli makanan.
Pada suatu hari, Nasuhah dipanggil oleh pensyarahnya ke bilik pensyarah itu dan diminta
untuk membayar duit buku secepat mungkin. Nasuhah berfikir sejenak. Jika dia membayar
duit buku itu yang berharga RM50, apa yang dia boleh makan nanti? Lalu Nasuhah bertanya
sama ada dia dapat membayar buku tersebut secara ansuran. Tergamam seketika pensyarah
tersebut sebelum terus bertanya mengenai masalah yang dihadapi pelajarnya itu. Nasuhah
pun berterus terang mengenai masalah kewangan yang dihadapinya. Duit belanja yang
Nasuhah terima daripada keluarganya hanyalah sebanyak RM100 sebulan. Setiap hari dia
terpaksa ikat perut untuk membeli makanan. Apabila kawan-kawannya mengajak dia keluar,
Nasuhah hanya mampu senyum dan menggeleng kepala.
Setibanya cuti semester, Nasuhah tidak bercadang untuk kembali ke rumah kerana tidak
mempunyai duit yang cukup untuk membiayai perjalanan pulang. Walaupun Nasuhah amat
merindui keluarganya, dia sedar bahawa situasi kewangan tidak menyebelahinya. Oleh itu,
dia hanya mampu menerima dugaan itu dengan hati terbuka. Waktu malam sudah menjelma.
Kelihatan Nasuhah seorang diri di dalam bilik. Semua kawannya sudah pulang ke rumah
masing-masing. Sedang Nasuhah baring di katil, dia tiba-tiba terfikir untuk mencari kerja
sampingan sementara cuti semester berlangsung supaya dapat menambah duit poketnya.
Sekiranya dia bekerja di luar UiTM, kos pengangkutan untuk ke tempat kerja sudah pasti
agak banyak dan tambah menyukarkan keadaannya. Oleh itu, dia mengambil inisiatif untuk
mencari kerja di atas talian.
Hasil cariannya, Nasuhah terjumpa satu iklan mengenai pencarian ejen ‘dropship’. Dropship?
Apakah itu dropship? Perasaan ingin tahu dalam diri Nasuhah mendorongnya untuk terus
menghantar mesej kepada nombor yang terpampang di iklan tersebut. Setelah menanyakan
beberapa soalan, akhirnya Nasuhah faham bahawa dropship ialah sejenis “supply chain
management” yang hanya memerlukan Nasuhah untuk mengiklankan barang untuk dijual dan
mencari pelanggan.
150