Page 156 - eDinamik
P. 156

PENERBANGAN XX2121 YANG TIDAK MUNGKIN DAPAT KU
                                               LUPAKAN


        Hening Subuh hari Jumaat tanggal 22hb November 2013, seperti biasa aku bangun awal untuk
        sujud kehadratNYA sebelum bersiap untuk tugasan rasmi di luar kampus. Kira-kira jam 5.45
        pagi lagi aku dijemput oleh pemandu di rumah dan sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa
        Kota Kinabalu (LTAKK) kira-kira jam 6.15 pagi. Suasana hening dan sederhana sibuk di LTAKK
        merupakan fenomena biasa dan aku terus membuat pendaftaran penerbangan pergi dan balik
        menggunakan mesin kiosk yang disediakan. Maklumlah tugas rasmi ini merupakan program
        ramah mesra pelajar Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) UiTM Tawau bersama
        penyelaras yang dijadual berlangsung sebelah petang.

        Setelah mendapat pas masuk, aku terus menuju masuk ke dewan pelepasan A4. Kira-kira jam
        6.50 pagi, pengumuman keberangkatan XX2121 menuju ke Tawau dibuat. Hatiku berasa sangat
        bersyukur disebabkan waktu pelepasannya tepat seperti yang dijadualkan. Aku melangkah
        masuk seperti biasa dan duduk di sebelah kanan pesawat tepi tingkap kerusi bernombor 17F.
        Suasana riuh semasa proses mengambil tempat duduk para penumpang adalah lumrah dan
        tidak lama selepas demonstrasi keselamatan dibuat, kapal terbang mula mengundur dan
        begerak menuju ke landasan pelepasan.

        Aku masih teringat sebelum penerbangan dibuat, juruterbang sempat membuat ujian beberapa
        kali mengembangkan sayap yang aku faham benar ia adalah prosedur biasa. Namun yang
        sedikit pelik, semasa diuji ia mengeluarkan bunyi yang sedikit kuat daripada kebiasaannya. Aku
        terus teruja untuk menikmati penerbangan ini, dan mengikut pengumuman oleh ketua
        paramugara “…penerbangan ini akan memakan masa kira-kira 40 minit….” untuk sampai ke
        Tawau. Kapal terbang terus memecut laju untuk berlepas dan tidak lama selepas itu, kami telah
        berada di udara bagi menikmati pemandangan waktu pagi yang amat indah. Sebaik isyarat tali
        pinggang keledar dimatikan, kapal terbang terus bergerak seperti biasa.

        Kira-kira 20 minit kemudian, aku mula berasa hairan kerana kapal terbang ini seolah-olah hanya
        berlegar-legar di kawasan yang sama. Jelas melalui tingkap, aku terpandang pemandangan
        daratan yang sedikit kabur seakan-akan kawasan pantai di sekitar Kota Kinabalu. Hatiku
        terdetik, mungkinkah kapal terbang ini mengalami masalah dan akan berpatah balik? Sedang
        aku berteka-teki, tiba-tiba juruterbang dengan tenang (tanpa menunjukkan perasaan cemas)
        membuat pengumuman penting dalam bahasa Inggeris bermaksud: “Tuan-tuan dan puan-puan,
        untuk makluman para penumpang, penerbangan kita terpaksa berpatah balik ke LTAKK dan
        segala urusan selanjutnya akan diurus oleh staf kami yang telah dimaklumkan”.

        Sah sangkaanku sebelum ini, yang kapal terbang ini berpatah balik dan mendarat semula di
        LTAKK. Sebaik pengumuman dibuat, ia terus berlegar-legar dalam tempoh yang agak lama dan
        selanjutnya membuat pendaratan. Aku sempat menoleh pada para penumpang yang lain di
        sekelilingku. Raut muka mereka tampak kehairanan namun suasana sunyi sepi.






   147
   151   152   153   154   155   156   157   158   159   160   161