Page 153 - eDinamik
P. 153
NUR KASIH CHARITY SHOP
Aishah Mahat, Maryam Haji Ahmad Shafie
Perniagaan pakaian atau barangan terpakai biasanya dipandang remeh oleh sesetengah pihak.
Namun bagi Puan Hajah Maryam, perniagaan ini merupakan sumber dana utama untuk
menampung keperluan harian 75 orang anak-anak yatim dan asnaf di Pertubuhan Kebajikan dan
Pendidikan Nur Kasih.
Bermula sekitar lima tahun yang lalu, hanya sebuah pintu kedai pakaian terpakai dibina tetapi kini
beliau memiliki sebanyak dua buah cawangan dan kedai pakaian tersebut dibesarkan sehingga
menjadi tiga pintu. Idea bagi membuka perniagaan pakaian atau barangan terpakai ini terhasil
apabila melihat lambakan pakaian yang dihantar oleh tetamu ke rumah anak yatim. Setiap kali
tetamu yang datang menziarahi anak-anak yatim ini, mereka akan membawa pakaian terpakai.
Sekiranya ditolak pemberian mereka, nanti dikatakan anak yatim ini memilih pula. Jika diterima,
pakaian tersebut akan menjadi lambakan kerana kuantitinya terlalu banyak dan saiznya tidak
menepati badan anak-anak yatim yang sedia ada di asrama tersebut. Akhirnya apabila terlalu
banyak pakaian yang terkumpul, maka Puan Hajah Maryam selaku Pengurus Pertubuhan
Kebajikan dan Pendidikan Nur Kasih terfikir ia perlu dimanfaatkan dengan membuka sebuah
kedai pakaian terpakai.
Pengusaha kedai pakaian terpakai kebiasaannya perlu mengimport barang jualan mereka
daripada negara luar seperti Jepun, Korea, Amerika Syarikat dan lain-lain. Namun uniknya
operasi Nur Kasih Charity Shop, mereka tidak perlu membeli pakaian terpakai tersebut kerana ia
diberi secara percuma oleh orang ramai. Kesemua pakaian yang dihantar ke Nur Kasih Charity
Shop bukan sahaja dalam keadaan baik, malah ada yang berjenama dan boleh dijual semula
dengan harga yang mahal. Buktinya pada peringkat awal pembukaan kedai ini, hasil jualan
adalah sekitar RM50 hingga RM100 sehari tetapi kini mampu mencecah RM500 ke atas sehari.
Apabila semakin ramai yang mengenali dan mengetahui tentang kewujudan serta kelebihan Nur
Kasih Charity Shop ini, mereka yang datang ke kedai tersebut bukan sahaja peruncit tetapi
kebanyakan yang membeli adalah daripada pemborong-pemborong luar. Mereka membeli
dengan harga borong dan menjualnya semula di pasar malam, pasar pagi, car boot sale dan ada
yang membuka kedai pakaian terpakai di kampung-kampung. Secara tidak langsung, konsep
menderma pakaian terpakai ini sangat memberi manfaat bukan sahaja kepada anak-anak yatim
dan asnaf, malah ia membuka peluang perniagaan kepada para asnaf yang lain untuk mencari
pendapatan bagi menjana kehidupan keluarga sendiri.
144