Page 53 - e-Dinamik
P. 53

INSPIRASI INSAN KELAINAN UPAYA

             Oleh: Norhasniza Mohd Hasan Abdullah, Nur Liyana Mohamed Yousop, Zuraidah Ahmad,
                       Nur’Asyiqin Ramdhan, Roslina Mohamad Shafi, Shashazrina Roslan



                Pepatah Melayu ada menyebut ‘hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih’. Dalam pada
          ramai anak muda yang sempurna sifatnya selesa bergoyang kaki tanpa halatuju dan cita-cita, ramai
          insan kelainan upaya di luar sana telah menyahut seruan dan cabaran kerajaan untuk menjalankan
          perniagaan. Namun, menjadi usahawan kelainan upaya yang berjaya, bukanlah suatu perkara yang
          mudah. Kekurangan yang dimiliki mungkin dilihat sebagai liabiliti bagi sesetengah golongan
          masyarakat. Namun siapa sangka liabiliti yang dimiliki akhirnya menjadi aset yang disanjungi dan
          dihormati. Ironinya, mereka yang telah berjaya ini seakan membujur lalu melintang patah. Walaupun
          tidak sempurna sifat, berkerusi roda dan hilang penglihatan, mereka seakan melihat dunia ini tidak
          ada yang mustahil. Menerusi artikel ini, kami ingin mengetengahkan salah seorang usahawan
          kelainan upaya yang lahir serba kekurangan namun berjaya membuka mata dunia bahawa tiada apa
          yang mustahil asalkan adanya iltizam.





















                  Tanggal 7 Disember 1981 menyaksikan kelahiran seorang insan istimewa yang diberi nama
          sebagai Zhariff Afandi. Kelahirannya tanpa hembusan nafas, tangisan dan pergerakan sehingga
          menyebabkan pakar perubatan mengesyaki beliau telah meninggal dunia sewaktu dilahirkan. Namun,
          berpantang maut sebelum ajal, insan istimewa tersebut kini telah berjaya melakar pelbagai kejayaan
          walaupun tanpa kedua belah tangan. Atas semangat untuk setanding manusia normal, beliau telah
          memulakan sesi persekolahan seawal usia dua tahun setengah. Pada usia empat tahun pula, beliau
          telah menyertai kelas renang dan berani melakukan parasailing. Beliau yang melabelkan dirinya
          sebagai budak lasak mula menjinakkan diri dengan aktiviti menunggang kuda pada usia sembilan
          tahun.

                  Perjalanan kerjaya beliau bermula setelah menamatkan pengajian di Universiti Griffith,
          Australia dalam bidang psikologi. Oleh kerana berlainan dengan insan lain, beliau menghadapi sedikit
          kesukaran apabila tidak mendapat keyakinan dan kepercayaan daripada masyarakat tempatan.
          Namun akhirnya beliau telah dilantik sebagai Ketua Bahagian Perkembangan Perniagaan di PRIDE
          Foundation iaitu sebuah pertubuhan kanser payu dara sebelum menjadi pengurus besar di Denai
          Alam Recreation and Riding Club (DARC), sebuah organisasi berkaitan bidang rekreasi berkuda.




   44
   48   49   50   51   52   53   54   55   56   57   58