Page 58 - e-Dinamik
P. 58
PERANCANGAN KEWANGAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM
Oleh: Aflah Isa & Nor Hadaliza Abd Rahman
Ramai orang menganggap perancangan kewangan sebagai sesuatu yang
membebankan serta menghalang mereka daripada melakukan perkara yang menyeronokkan.
Apabila hidup perlu sentiasa berjimat, sudah tentu anda perlu mengorbankan pelbagai aktiviti
yang memberi keseronokan sekarang, bukankah begitu?
Kini, kita sering dihidangkan dengan kisah seperti golongan muda yang muflis akibat
bebanan hutang, pesakit yang gagal mendapatkan rawatan akibat kos perubatan yang terlalu
tinggi dan pesara yang mengalami kesempitan hidup akibat kurangnya simpanan untuk hari
tua. Melalui perancangan kewangan yang berhemah, kita dapat menghindari gejala-gejala ini
lantas membentuk keluarga yang sejahtera dan stabil.
Pendapatan yang sedikit tetapi dirancang penggunaannya mengikut
keutamaan akan lebih berkesan dalam memenuhi keperluan diri dan keluarga, berbanding
dengan pendapatan yang banyak tetapi dibelanjakan dengan boros. Dalam setiap peringkat
kehidupan, dari zaman kanak-kanak hinggalah ke usia persaraan, pastinya ada keperluan
kewangan yang perlu dipenuhi, lantas memerlukan perancangan sewajarnya.
Memiliki dan memelihara harta merupakan salah satu keperluan asasi manusia. Jika
tiada undang-undang, maka hak untuk memiliki harta akan terjejas. Pastinya manusia akan
mendapatkan harta melalui jalan yang keji seperti merompak, meragut, mencuri dan
sebagainya.
Pada masa yang sama, Allah SWT mengurniakan hambaNya harta dengan kadar
yang berbeza-beza. Ada manusia yang kaya, sederhana dan miskin di dunia ini. Namun
demikian, kaya-raya bukanlah ukuran untuk menandakan bahawa seseorang lebih dikasihi
Allah dan tidaklah bermakna mereka yang miskin itu dihina oleh Allah SWT. Ini diterangkan di
dalam Surah Al-Fajr, ayat 15-17:Bermaksud:
“Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya
kesenangan, maka dia akan berkata: “Tuhanku telah memuliakanku.” Adapun bila Tuhannya
mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: “Tuhanku menghinakanku”.Sekali-kali
tidak (demikian). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang-orang yang berkemahuan lebih salah lagi
kerana) kamu tidak muliakan anak yatim, (kamu menahan apa yang ia berhak menerimanya.”
49