Page 59 - e-Dinamik
P. 59
Dalam merancang kewangan diri dan keluarga, adalah menjadi tanggungjawab kita
untuk memastikan harta kita diperoleh dengan cara yang betul, contohnya melalui perniagaan.
Rasulullah s.a.w. telah menegaskan bahawa kedudukan perniagaan adalah merupakan satu
kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Sembilan
persepuluh sumber rezeki (boleh diperolehi) melalui perniagaan”.
Salah satu bentuk perniagaan ialah aktiviti pelaburan. Melalui pelaburan, kita bukan
sahaja dapat membina kekayaan untuk manfaat diri dan keluarga, malah dapat menyumbang
kepada kesejahteraan ummah dan masyarakat sejagat.
Terdapat pelbagai instrumen pelaburan yang disahkan oleh Bank Negara Malaysia,
Suruhanjaya Sekuriti dan Majlis Fatwa Negeri. Justeru, umat Islam harus lebih peka dan
janganlah terjebak dengan skim-skim cepat kaya yang diharamkan.
Usahlah kita menunggu adanya harta yang banyak untuk melabur. Pelaburan yang
sedikit tetapi istiqamah adalah lebih berkesan berbanding pelaburan yang mungkin lebih
banyak tetapi tidak konsisten. Pada masa yang sama, pelaburan serendah seringgit sekalipun,
apabila digembleng bersama, boleh membantu membina kekuatan ekonomi sesebuah negara.
Oleh itu, janganlah sesekali alpa untuk merancang kewangan dan menguruskan harta
sebelum meninggalkan dunia yang sementara ini. Jadikanlah kurniaan harta di dunia sebagai
bekalan di akhirat. Jangan berkira-kira dengan harta yang ditinggalkan di dunia ini.
Tunaikanlah kewajipan zakat dan ringankanlah tangan untuk sedekahkan harta melalui waqaf.
Jadikanlah harta yang kita miliki itu sebagai wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah
SWT.
50