Page 57 - e-Dinamik
P. 57
KEUSAHAWANAN DAN MODAL INSAN
Oleh: Oswald Timothy Edward & Ehsan Fansuree Mohd Surin
Dasar Keusahawanan Negara 2030 telah diwartakan dalam usaha menongkah arus Revolusi Inudustri
4.0. Justeru, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) merupakan salah satu komponen penting dalam ekonomi
moden. PKS memberikan sumbangan yang besar bukan sahaja kepada negara, malah juga kepada
pembangunan masyarakat. Walau bagaimanapun, banyak perusahaan sebegini gagal bertahan lama. Menurut
laman sesawang rasmi SME Corporation, kadar penutupan PKS menjangkau lebih 42 peratus.
Antara faktornya adalah kegagalan dalam pengurusan kewangan, kurangnya kemahiran, kurangnya
pengetahuan terhadap persekitaran perniagaan, kurangnya kemahiran dalam menentukan harga barangan,
kurang pengalaman dalam pentadbiran perniagaan dan akhir sekali adalah kelemahan dalam membuat
keputusan.
Faktor ini merujuk kepada faktor fizikal sesesorang usahawan iaitu faktor dalaman atau modal insan.
Disebabkan rendahnya kesedaran dan pemahaman usahawan terhadap faktor modal insan, mereka sentiasa
mengekalkan cara lama dan sama dalam menguruskan perniagaan tanpa ada sebarang penambahbaikan.
Modal insan merujuk kepada keupayaan seseorang usahawan dalam melaksanakan tugasan di dalam
perniagaan. Keupayaan seseorang usahawan ini diukur melalui tiga indikator; kemahiran pengurusan,
perancangan strategik dan keupayaan usahawan. Modal insan adalah sumber intelek yang ada pada setiap diri
manusia. Ia menunjukkan seorang yang berkemahiran, berilmu, berpengetahuan dan mampu menyumbang
kebaikan kepada dunia hari ini. Kajian lepas mendapati terdapat hubungan yang signifikan antara modal insan
dan prestasi perniagaan.
Kepelbagaian dalam pencapaian bagi prestasi perniagaan adalah disebabkan kepelbagaian kadar modal
insan yang dimiliki. Jika seseorang usahawan mempunyai skil pengurusan yang tinggi, maka usahawan itu akan
mencapai tahap prestasi perniagaan yang lebih baik berbanding dengan usahawan yang mempunyai skil
pengurusan yang rendah.
Terdapat tiga elemen penting didalam modal insan iaitu skil pengurusan, perancangan strategik dan
kekuatan usahawan. Skil ditafsirkan sebagai kebolehan untuk melakukan sesuatu proses kognitif yang spesifik.
Skil pangurusan adalah proses untuk melakukan perancangan melalui empat langkah asas; analisa
situasi, perancangan strategi, pelaksanaan dan penilaian. Analisa situasi meliputi faktor persekitaran dalaman dan
luaran termasuk posisi perniagaan berbanding dengan pesaing. Perancangan strategik menitikberatkan
pernyataan misi perniagaan dan bagaimana sesebuah perniagaan dapat bertindakbalas terhadap ancaman
pesaing. Perancangan juga merangkumi keupayaan sesuatu perniagaan untuk menjana modal insan.
Pelaksanaan strategi pula memfokuskan kepada strategi pertumbuhan seperti bagaimana untuk menembusi
pasaran di samping mengurangkan kos operasi. Penilaian pula adalah yang berkait rapat dengan keputusan yang
didapati. Adakah keputusan tersebut telah mencapai sasaran seperti yang dirancang.
Elemen yang kedua adalah perancangan strategik. Ianya ditakrifkan sebagai pelan tunjuk arah
bagaimana sesuatu perniagaan itu cuba untuk mencapai objektif di dalam perniagaan. Langkah-langkah yang
disyorkan adalah seperti; berwaspada dengan peluang, penjanaan objektif, penentuan persekitaran perniagaan,
penentuan terhadap alternatif sesuatu tindakan, penilaian terhadap alternatif sesuatu tindakan, pemilihan dan
perlaksanaan tindakan, pembimbing terhadap pelan formulasi dan perancangan bajet. Kemampuan untuk
melakukan perancangan strategik ini adalah penting untuk menentukan untung nasib sesebuah perniagaan.
Elemen yang ketiga adalah kekuatan usahawan. Setiap perniagaan pasti akan mengalami pasang surut di
dalam pencapaian. Dan pencapaian ini berkait rapat dengan kekuatan usahawan itu sendiri. Kekuatan usahawan
ini adalah aras kekuatan seseorang usahawan untuk mengendali sesuatu perniagaan. Kebanyakkan organisasi
mengiktiraf modal insan sebagai kelebihan daya saing yang membantu meningkatkan prestasi perniagaan.
Kurangnya kesedaran dan pengetahuan tentang pentingnya modal insan kepada sesebuah perniagaan akan
menyebabkan kegagalan dalam pengurusan perniagaan.
48