Page 60 - e-Dinamik
P. 60
BELANJAWAN PERIBADI
Oleh: Zaibedah Zaharum, Mardziyana Mohamad Malom, Nor Hazila Ismail,
Maizura Mohd Isa & Nurul Haida Johan.
Setiap individu inginkan keselesaan dalam kedudukan kewangan. Bagi mencapainya
perlulah ada satu sistem perancangan kewangan atau sistem penggunaan kewangan yang
berkesan agar perbelanjaan dapat diuruskan dengan baik. Pengurusan kewangan masa hadapan
mencerminkan pelbagai usaha yang melibatkan disiplin tertentu untuk mengurus segala sumber
pendapatan serta aset supaya setiap perbelanjaan yang dibuat mendatangkan faedah atau
manfaat yang optima dan dapat memungkinkan tabungan serta pelaburan yang boleh menjamin
pendapatan pada masa hadapan.
Salah satu usaha untuk menguruskan sumber-sumber pendapatan adalah dengan
melakukan belanjawan. Apa itu belanjawan? Belanjawan merupakan anggaran pendapatan yang
diperoleh dan perbelanjaan yang akan dibuat untuk suatu tempoh masa tertentu di masa akan
datang. Ia bertujuan untuk mendapatkan keseimbangan di antara pendapatan dan perbelanjaan.
Penyediaan belanjawan adalah berbeza-beza mengikut keperluan individu. Ada individu yang
membuat simpanan dengan mengasingkan sebahagian wang yang diterima untuk membeli kereta
baharu. Ada pula individu yang berpuas hati dengan menggunakan kereta lama dan simpanan
dibuat untuk tujuan lain seperti bercuti ke luar negara.
Terdapat beberapa kepentingan menyediakan belanjawan, salah satunya adalah untuk
mengelakkan pembaziran dengan mendahulukan barang yang penting dan yang perlu sahaja.
Kedua, penyediaan belanjawan membolehkan individu mengagihkan sebahagian daripada
pendapatan mereka untuk tujuan tabungan dalam menghadapi perkara di luar jangkaan. Selain
daripada itu belanjawan membolehkan individu mengimbangkan antara perbelanjaan dengan
pendapatan. Maka, perbelanjaan melebihi pendapatan tidak akan berlaku. Oleh itu, individu dapat
mengelak daripada berhutang. Belanjawan ini bukan sahaja dapat memaksa individu tersebut
merancang sebelum berbelanja malahan dapat digunakan sebagai mekanisma kawalan
perbelanjaan. Perbandingan jumlah perbelanjaan yang dirancang dengan jumlah perbelanjaan
yang sebenar pada setiap bulan dapat dilakukan.
Adalah penting untuk setiap individu merangka belanjawan. Untuk menjadi seseorang
yang celik kewangan, seseorang itu perlu menambah ilmu pengetahuan serta mencari maklumat
dan bantuan yang berkaitan dengan pengurusan kewangan agar dapat menguruskan kewangan
dengan bijak dan sistematik.
51