Page 61 - e-Dinamik
P. 61

MAHASISWA DAN PELABURAN

                 Oleh: Maizura Md Isa, Nor Hazila Ismail, Nurul Haida Johan & Zaibedah Zaharum



                    Kekangan kewangan di kalangan mahasiswa adalah suatu perkara yang sering
             berlaku di mana-mana institusi pengajian. Tidak kiralah institusi tersebut terletak dalam bandar
             mahupun di luar bandar. Masalah kewangan ini tetap akan timbul terutamanya ketika
             bermulanya semester baharu. Maka akan timbullah pelbagai masalah dan alasan yang
             digunakan untuk melewatkan pembayaran terutamanya yuran pendaftaran.

                     Kebanyakan para mahasiswa ini sebenarnya mempunyai alasan yang telus untuk
             menangguhkan pembayaran yuran mereka walaupun mereka mendapat pinjaman PTPTN.
             Antaranya termasuklah menjelaskan hutang bagi pihak keluarga, membayar yuran perubatan
             untuk ibu bapa di kampung dan juga membayar duit pendahuluan rumah sewa. Oleh kerana
             itu, para mahasiswa ini haruslah didedahkan kepada dunia pelaburan supaya mereka
             memperolehi pulangan yang menguntungkan bagi meringankan beban kewangan sendiri dan
             keluarga.

                     Ilmu yang diperolehi dalam bidang kewangan dan pelaburan semasa kuliah dapat
             membantu para mahasiswa ini memahami konsep pelaburan dengan lebih jelas. Para
             mahasiswa ini haruslah bijak menguruskan kewangan mereka dan mempraktikkannya dari
             peringkat awal lagi sebelum memasuki alam pekerjaan. Pada peringkat permulaan, para
             mahasiswa boleh berjinak-jinak dalam pelaburan unit amanah seperti yang diperkenalkan oleh
             Permodalan Nasional Berhad (PNB) melalui unit Amanah Saham Berhad (ASB) . Pulangan
             yang mereka dapat dalam bentuk dividen dapat membantu golongan mahasiswa ini berdikari
             dan menjana pendapatan sendiri. Selain daripada itu, pelaburan dalam bidang hartanah juga
             semakin popular dewasa ini. Pelaburan hartanah ini telah diperkenalkan oleh Permodalan
             Hartanah Berhad (PHB) melalui unit Amanah Hartanah Berhad (AHB). AHB merupakan dana
             pelaburan unit amanah yang menjanjikan pulangan unit amanah pelaburan kepada pelabur
             tanpa mengira pendapatan dan usia mereka. Seterusnya, jika mereka sudah bersedia, mereka
             mungkin boleh beralih kepada dunia  pasaran saham yang lebih memerlukan kecekapan
             ketika membuat keputusan dan sudah pasti dengan analisis yang betul pulangan mereka nanti
             akan lebih tinggi berbanding pelaburan melalui unit amanah .
                     Apapun, semuanya terletak kepada kebijaksanaan para mahasiswa tersebut dalam
             pengurusan kewangan mereka mengenai pelaburan. Berbekalkan ilmu kewangan dan
             pelaburan yang diperolehi dalam kuliah serta modal pelaburan yang minima, mereka boleh
             memilih untuk melabur dalam unit amanah ataupun dalam pasaran saham. Pilihan di tangan
             mereka.




















   52
   56   57   58   59   60   61   62   63   64   65   66