Page 81 - e-Dinamik
P. 81
KARYA ILMIAH 7: SIMETRI VS ASIMETRI
Penulis: Tan Yan Ling, Nur Adilah binti Saud
Universiti Teknologi Mara Cawangan Johor, Kampus Segamat
Perkataan simetri selalu digunakan dalam bidang matematik, sains, fizik dan
geometri. Dalam kontek matematik, simetri membawa maksud yang lebih spesifik iaitu
sesuatu objek adalah sama terhadap pelbagai transformasi termasuk bentuk refleksi,
putaran dan skala. Dalam bahasa harian, simetri merujuk kepada perasaan harmoni,
keseimbangan dan pencerminan. Sekiranya simetri bermaksud pencerminan, maka
setiap individu adalah simetri. Ini bermaksud kita adalah simetri kepada orang lain.
Simetri pada asasnya bermula daripada konsep sebuah keluarga. Kita adalah simetri
bagi ibu bapa. Tabiat, perangai dan tingkah laku anak-anak adalah cerminan sikap ibu
bapa. Selain ibu bapa, karektor seseorang juga dikatakan simetri dengan karektor
'reference group' mahupun 'opinion leader'.
Namun, kebanyakan keadaan adalah tidak simetri atau boleh dirujuk sebagai
asimetri. Dalam istilah matematik, asimetri membawa maksud ketidakseimbangan
antara satu sisi dengan sisi lain. Cuba bayangkan apa yang akan berlaku jika ibu bapa
atau orang dewasa tidak dapat menjadi teladan yang baik kepada anak-anak mereka.
Ini adalah salah satu bentuk asimetri. Dalam konteks ekonomi pula, asimetri selalunya
dikaitkan dengan asimetri informasi atau asimetri harga. Asimetri informasi berlaku
sekiranya satu pihak mempunyai maklumat yang banyak berbanding dengan pihak lain
sebelum atau selepas sesuatu transaksi dilakukan. Contohnya pemilik atau penjual
kereta terpakai mempunyai maklumat yang lebih banyak berkaitan urusan penjualan
kereta sebelum urusan tersebut dijalankan jika dibandingkan dengan pembeli kereta.
Di samping itu, harga juga boleh dikaitkan dengan konsep asimetri. Asimetri harga
merupakan satu fenomena ketidakseimbangan dalam harga pasaran. Ianya dicirikan
sebagai "naik cepat tetapi turun lambat". Secara spesifiknya, harga output bertindak
secara tidak simetri terhadap perubahan harga input (Peltzman, 2000). Mengikut
kajian yang dilalankan oleh Peltzman (2000) terhadap 165 jenis barangan pengeluar
dan 77 jenis barangan pengguna, didapati harga output naik lebih cepat jika
dibandingkan dengan penurunan harga.
72