Page 79 - e-Dinamik
P. 79
KARYA ILMIAH 6: LANGKAH PENGURANGAN PENGGUNAAN MINYAK MENTAH DEMI
KELESTARIAN ALAM SEKITAR - PENDEKATAN KES KOREA SELATAN
Penulis: Radyiah binti Ab Aziz
Jabatan Ekonomi UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat
Pertumbuhan ekonomi amat penting dalam meningkatkan prestasi ekonomi
sesebuah negara. Kajian lepas menunjukkan penggunaan minyak mentah berkait rapat
dengan pertumbuhan ekonomi. Semakin meningkat pertumbuhan ekonomi, semakin
meningkat penggunaan minyak mentah (Yoo, 2006). Peningkatan penggunaan minyak
mentah pula pastinya memberikan impak negatif kepada alam sekitar seperti
pelepasan gas-gas rumah hijau yang berbahaya. Oleh itu, sesebuah negara perlu
mengambil langkah efektif melestarikan alam sekitar tanpa menjejaskan pertumbuhan
ekonomi.
Langkah menggunakan sumber minyak mentah dengan efisyen boleh dilakukan
dengan mencari sumber tenaga pengganti minyak mentah yang lebih mesra alam.
Sebagai contoh, menurut Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau, dan Air Malaysia
(2010), sisa minyak kelapa sawit, sisa bahan pertanian dan aktiviti perhutanan
merupakan sumber terbesar yang menyumbang kepada tenaga biomas (apa sahaja
bahan organik yang boleh digunakan sebagai sumber tenaga) di Malaysia. Selain itu,
tenaga biomas telah mendapat perhatian dunia disebabkan kenaikan harga bahan api
lain seperti fosil di samping keperihatinan terdapat pencemaran dan penjagaan
sumber tenaga. Terdapat pelbagai jenis sumber biomas. Antaranya etanol (apa-apa
sahaja bahan organik yang mengandungi gula, kanji atau selulosa boleh dijadikan
etanol), lignocellulosic (berasal daripada bahan pertanian bukan makanan, bahan
buangan makanan, dan bahan buangan industri) dan butanol - boleh dihasilkan
menggunakan bakteria daripada Genus Clostridium. Butanol ialah bahan api yang yang
dianggap lebih baik daripada etanol dan menyerupai gasolin.
Selain itu, sistem pengangkutan awam yang lestari merupakan idea yang agak baik
bagi membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. Mengambil contoh di
Korea Selatan, kenderaan di sana menggunakan 39 juta tan minyak mentah per
sumber tenaga, iaitu 81 peratus daripada sumber tenaga adalah daripada kenderaan
yang berasaskan jalan raya. Oleh itu, disebabkan kebanyakan sumber tenaga datang
daripada minyak mentah, sektor kenderaan di Korea Selatan menyumbangkan kepada
enam gas rumah hijau dengan kenderaan di jalan raya menyumbangkan peratusan
yang terbanyak (Chris, 2010). Oleh yang demikian, Korea Selatan telah membangunkan
sistem kemudahan pengangkutan awam dengan meminimumkan penggunaan karbon.
70