Page 75 - e-Dinamik
P. 75
KARYA ILMIAH 4: KRONOLOGI DAN PERLAKSANAAN CUKAI BARANG DAN
PERKHIDMATAN (GST) DI MALAYSIA
Penulis: Juliana binti Mohamed Abdul Kadir
Jabatan Ekonomi UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat
Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah menggantikan Cukai Jualan dan
Perkhidmatan (SST) pada 1 April 2015. Cukai jualan yang dikenakan kadar 5 peratus
hingga 10 peratus dan cukai perkhidmatan pada 6 peratus, telah ditukarkan kepada GST
iaitu pada kadar 6 peratus.
Sejak tahun 1982, hasil cukai Malaysia adalah bergantung kepada cukai langsung.
Pada tahun 2015, peratusan pendapatan kepada KDNK adalah 15.5 peratus. Walau
bagaimanapun, kerajaan telah memperkenalkan GST untuk meningkatkan pendapatan
hasil cukai tidak langsung seterusnya menjadikan hasil ini sebagai sumber pendapatan
utama bagi negara.
Terdapat dua faktor di sebalik perlaksanaan GST iaitu: (1) cukai tidak langsung
menawarkan matlamat yang lebih luas kerana ia hasilnya dapat dipungut daripada
semua lapisan masyarakat. Sebaliknya cukai langsung hanya tertumpu kepada golongan
berpendapatan tetap sahaja; dan (2) pertukaran kepada cukai tidak langsung boleh
meluaskan asas dan meminimumkan beban kepada mereka yang bekerja, terutama bagi
negara-negara yang mempunyai jumlah populasi tua atau ‘aging population’ yang ramai.
Kronologi pengenalan kepada GST bermula 30 tahun yang lalu. Walau bagaimanapun,
pelaksanaannya telah ditangguhkan beberapa kali. Akhirnya, model asas GST Malaysia
telah dibangunkan dengan langkah pertama diambil pada tahun 1983 apabila Malaysia
menghantar pasukan penyelidikan ke Korea Selatan untuk mengkaji potensi GST.
Seterusnya, Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin telah memperkenalkan GST pada
Belanjawan 1989. Perlaksanaan GST adalah untuk mengimbangi pengurangan di dalam
hasil kerajaan yang disebabkan oleh jumlah cukai langsung. GST telah dinilai
berkemungkinan ia akan menjadi satu pilihan percukaian yang terbaik untuk
dilaksanakan. Namun begitu, pelan ini telah ditangguhkan.
Dalam Belanjawan 1993, GST telah diumumkan buat kali kedua oleh bekas Menteri
Kewangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Namun, perlaksanaannya ditangguhkan. Setelah
lebih 10 tahun menangguhkan perlaksanaan GST, pada 10 September 2004, Dato’ Seri
Abdullah bin Ahmad Badawi telah membawa isu GST ke dalam Belanjawan 2005. Sejurus
selepas itu, Malaysia telah menghantar satu pasukan untuk membuat kajian berkaitan
dengan perlaksanaan dan mekanisma GST di Australia, New Zealand, dan Indonesia.
66