Page 73 - e-Dinamik
P. 73
Menyorot perlaksanaan DPT, negara telah membuat tiga perubahan khusus iaitu
melalui perubahan struktur, sikap dan latihan serta kursus. Penggunaan tanda nama,
sistem 5’S, penggunaan kad perakam waktu kerja, konsep pejabat terbuka, konsep
bersih, cekap dan amanah (BCA), kepimpinan melalui teladan (KMT) dan sebagainya
merupakan antara kesan positif kepada perlaksanaan DPT. Malahan program-program
berbentuk latihan dan kursus telah giat dilaksanakan seperti latihan perindustrian dan
teknikal, program pengajian akademik, program kemajuan eksekutif yang memberi
penekanan kepada bidang pengurusan Sogoshosha, perjawatan, Q.C.C dan pengurusan
am, skim latihan pembangunan keusahawanan dan program hubungan antara institusi.
Pendekatan berfokus dan berinovasi ini, telah meningkatkan prestasi pengurusan dan
pembangunan di negara ini.
Kegilaan masyarakat Jepun terhadap kerja menjadikan negara tersebut semakin maju
ke hadapan tanpa meninggalkan jauh budaya nenek moyang mereka. Konsep “ware ware
wa” telah menjadikan sektor pekerjaan sebati di dalam jiwa di mana mereka meletakkan
organisasi sebagai sebahagian daripada hidup mereka. Malahan sikap “shinyo” antara
satu sama lain menjadikan organisasi semakin utuh dan berkembang dengan baik. Atas
dasar saling mempercayai ini jugalah, pengurus-pengurus muda diberikan tanggungjawab
dan dilatih dengan baik oleh pengurus-pengurus yang berpengalaman tanpa ada istilah
‘kedekut ilmu’. Kelangsungan sektor pekerjaan dan profesionalisme dapat diteruskan
malah ditambah baik dengan penglibatan golongan muda yang lebih agresif dan dinamik.
Sekiranya berlaku permasalahan dalam sesebuah organisasi, pihak pentadbir atau ‘bos’
akan mengambil tanggungjawab di atas kesalahan/permasalahan yang ditimbulkan oleh
anak buah mereka yang dinamakan dengan konsep “moshiwake arimase”.
Selain itu, dominasi pergantungan negara terhadap ekonomi negara-negara tertentu
sahaja akan memberikan risiko yang tinggi sekiranya negara tersebut berhadapan dengan
kemelut ekonomi. Oleh itu, negara perlu lebih progresif dalam mencari peluang-peluang
yang baru untuk melaksanakan hubungan dua hala dan pelaburan yang berintensiti tinggi
serta mampu memberikan pulangan yang lumayan. Justeru, DPT yang telah
diperkenalkan sejak duhulu lagi ini dilihat masih lagi releven dan wajar diteruskan oleh
Malaysia meskipun kita perlu selektif dalam pemilihan ikutan yang harus dianuti.
Kerjasama ekonomi yang baik dengan negara-negara di Timur ini telah terbukti
membuahkan hasil dan harus dikekalkan, seterusnya memberikan ruang yang lebih besar
kepada sektor-sektor digital, teknologi dan perkhidmatan yang berintensif tinggi untuk
berkembang selaras dengan Revolusi Industri 4.0.
64