Page 70 - e-Dinamik
P. 70

KARYA ILMIAH 1: GELOMBANG REVOLUSI INDUSTRI (RI) 4.0


           Penulis: Azfar Hilmi bin Baharudin, Tan Yan Ling, Azman bin Ali
           Jabatan Ekonomi Universiti Teknologi Mara Cawangan Johor, Kampus Segamat

              Dunia sedang mengalami perubahan di dalam struktur limpahan ekonomi. Pada akhir
           abad ke-18 hingga awal abad ke-19 di Eropah dan Amerika, Revolusi Industri Pertama
           telah mengubah lanskap perindustrian global. Revolusi tersebut melibatkan peralihan
           daripada proses pengeluaran manual kepada pembuatan mesin dan pembangunan mesin
           berkuasa stim dan air. Ini disusuli dengan Revolusi Industri Kedua yang didukung oleh
           sektor pembuatan keluli, cari gali minyak dan penjanaan kuasa elektrik pada skala besar,
           dari sekitar tahun 1870 hingga 1914. Revolusi Industri Ketiga pula bermula pada tahun
           1950-an di mana ianya juga dikenali sebagai Revolusi Digital yang membawa perubahan
           teknologi daripada penggunaan alat elektronik dan mekanikal analog kepada penggunaan
           teknologi digital.

              Revolusi Industri (RI) 4.0 atau Industri 4.0 merupakan kesinambungan Revolusi Industri
           Ketiga dalam peningkatan automasi berserta rangkaian internet. Ia merangkumi
           penemuan pelbagai teknologi baru seperti automasi, analisis Big Data, simulasi, integrasi
           sistem, penggunaan robotik dan cloud. Istilah Industri 4.0 pertama kalinya diperkenalkan
           pada tahun 2011 di bawah satu insiatif pengukuhan daya saing sektor perkilangan Jerman.
           Secara ringkasnya menurut Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum), RI 4.0
           merupakan perubahan berpandukan teknologi. Dalam erti kata lain, RI 4.0 membolehkan
           mesin-mesin berkomunikasi antara satu sama lain melalui rangka teknologi Internet of
           Things (IoT) dan juga membolehkan manusia berkomunikasi bersama mesin melalui
           rangka teknologi Internet of People (IoP). Dalam rangka teknologi ini, segala urusan harian
           dan pekerjaan dapat dijalankan dengan lebih produktif. Contoh penggunaan teknologi IoT
           ialah peralatan rumah pintar seperti sistem penggera kecemasan yang boleh dikawal
           secara jarak jauh menggunakan telefon pintar. Manakala penggunaan aplikasi navigasi
           seperti Google Maps dan Waze merupakan contoh rangka teknologi IoP.


              Gelombang RI 4.0 dapat mengatasi masalah kebergantungan terhadap sumber tenaga
           kerja manusia. Implikasinya ialah, golongan pekerja separuh mahir pada masa hadapan
           akan berdepan dengan cabaran kehilangan pekerjaan berpunca daripada gabungan
           teknologi automasi dan penggunaan robotik. Namun, mengikut satu kajian di Jerman, IR
           4.0. bakal mewujudkan 100,000 pekerjaan baru dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan
           pembinaan dalam masa 10 tahun akan datang (Maier & Student, 2014). Ini menunjukkan
           IR 4.0 bukan suatu fenomena yang secara konklusif menjurus kepada kadar pengangguran
           yang tinggi. Tidak dinafikan IR 4.0 akan menyebabkan sebahagian pekerjaan berkemahiran
           rendah seperti juruwang dan pembantu peribadi akan berkurang.






                                                                                                       61
   65   66   67   68   69   70   71   72   73   74   75