Page 72 - e-Dinamik
P. 72
KARYA ILMIAH 2: JEJAK JEPUN PENGARUHI BUDAYA KERJA RAKYAT MALAYSIA
Penulis: Siti Nordiyana binti Isahak, Nor Hamiza binti Mohd Ghani, Zailati binti Ahmad
Jabatan Ekonomi UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat
Sejak merdeka, pengaruh barat terutamanya British telah mempengaruhi budaya kerja
dan juga cara hidup masyarakat Malaysia secara amnya. Keangkuhan dan kesempurnaan
budaya kerja Barat yang sering diperkatakan sedikit sebanyak mulai luntur apabila
Perdana Menteri Malaysia ke-empat, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu
memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur (DPT). Setelah diumumkan pada tanggal 8hb
Februari 1982 di Persidangan “5 th Joint Annual Conference of MAJECA/JAMECA”, yang
diadakan di Hotel Hilton Kuala Lumpur ini, Malaysia tidak lagi menoleh ke belakang
apabila menjadikan negara-negara di Timur seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan
Singapura (tumpuan negara lebih kepada Jepun) sebagai contoh dan tauladan kepada
rakyat Malaysia dalam usaha meningkatkan prestasi pengurusan dan pembangunan di
sektor awam dan swasta. Perubahan dasar ini telah memberikan kejutan kepada Barat
terutamanya Britain yang sememangnya mempunyai hubungan baik dengan Malaysia
sejak sebelum merdeka lagi.
Nilai disiplin dan sifat kesetiaan yang tinggi dalam kalangan rakyat di Jepun dan Korea
ini telah menambat hati Perdana Menteri untuk menukar dasar luar negara. Seperti yang
sedia maklum, kejayaan sesuatu perhubungan antarabangsa sesebuah negara amat
bergantung dengan dasar luar yang dilaksanakan. Malaysia tidak terkecuali untuk menjaga
hal ehwal luarnya sebaik sahaja negara bebas dan merdeka pada 31 Ogos 1957. Malaysia
yang dikenali dengan nama Tanah Melayu pada ketika itu telah mengalami pelbagai
bentuk transformasi seiring dengan perubahan tampuk pemerintahan negara. Namun,
harus diakui secantik manapun lakaran pelan dan dasar pembangunan negara yang telah
disusun, sekiranya intipati perlaksanaannya tidak diperhalusi dengan baik maka
pincanglah matlamat yang ingin dikejar.
Setelah 37 tahun dilaksanakan, dasar ini di lihat masih lagi releven dan kembali rancak
diterjemahkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kembali menerajui tampuk
pemerintahan negara pada tahun 2018. Misi memodenkan Malaysia melalui DPT ini, telah
menampakkan sisi menarik di mana budaya kerja Jepun mula diaplikasikan sedikit demi
sedikit dalam budaya kerja harian rakyat Malaysia. Dasar ini sekaligus memperluaskan lagi
ruang pelaburan dan meningkatkan hubungan baik di antara Malaysia dan Jepun yang
telah sedia terjalin. Penghantaran pelajar Malaysia ke Jepun dan Korea Selatan untuk
melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah pertama dan pasca siswazah telah
membawa impak yang baik kepada kelainan perjalanan sektor perindustrian dan
perkhidmatan negara. Sifat kelembutan, kerajinan dan disiplin yang tinggi telah dapat
diterapkan dengan baik dalam sektor pekerjaan dan menjadi ikutan rakan sekerja.
63