Page 101 - Surah Hud : Tafsir dan Huraian.
P. 101
92 Surah Hud : Tafsir dan Huraian
Ertinya: “Anaknya menjawab: “Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung
yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air”. Nabi
Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatu pun yang akan dapat melindungi
dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani oleh-Nya”. Dan dengan serta-
merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia
(anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan”.
Keterangan Ayat
1. Allah SWT menjelaskan keadaan ketika ombak memisahkan antara
Nabi Nuh a.s dengan anaknya yang ditenggelamkan bersama
golongan yang kufur.
2. Anak Nabi Nuh a.s ini enggan beriman kepada bapanya. Beliau
menyangka boleh menyelamatkan dirinya dengan berlindung ke
sebuah gunung.
3. Nabi Nuh a.s menjelaskan bahawa tiada siapa yang dapat
menyelamatkan golongan yang kufur pada hari tersebut. Hanya
orang yang beriman sahaja yang selamat. (Rujukan tafsir: At-Tabari,
Al-Qurtubi, Ibn Kathir dll.)
Antara Petunjuk Ayat
1. Sebahagian manusia lebih suka mati di dalam kekufuran dan
kebinasaan. Mereka sombong dan enggan untuk beriman.
2. Orang yang kufur menyangka mereka dapat menyelamatkan diri
mereka dari azab Allah. Sangkaan mereka amat jauh meleset.
3. Tiada siapa yang dapat menyelamatkan golongan yang kufur ketika
azab yang ditetapkan kepada mereka telah tiba.