Page 15 - Monograf Persuratan Melayu
P. 15
Monograf Persuratan Melayu 2022
kemunculan beberapa sfera fungsi yang melingkungi sastera tradisional. Beliau
mengklasifikasikan binaan karya berdasarkan tiga sfera fungsi utama iaitu sfera hiburan
(karangan yang bermatlamat untuk mengharmonikan kekacauan kesan psikik, psikoterapi
jiwa), sfera faedah atau manfaat (alat penghayatan intelektual bagi mencapai cerminan
didaktik) dan sfera kesempurnaan rohani atau sfera kamal (bermatlamat menyucikan
kalbu, rohani manusia ke arah penghayatan intuitif Haq Ter’ala). Beliau meneliti
kandungan sastera Melayu itu dipenuhi dengan keindahan isi dan fungsi yang tiada tolok
bandingnya. Istimewa sekali kerana sastera Melayu sering senada dengan jalur etika
Islami. Kupasan peri indahnya dunia sastera Melayu-Islam ini dapat diteliti melalui
perbincangan beliau dalam buku Nada-Nada Islam dalam Sastera Melayu klasik (DBP,
1994) dan Erti Keindahan dan Keindahan Erti dalam Kesusasteraan Melayu Klasik
(DBP, 1994). Menurut Braginsky kewujudan fungsi karya sastera menjadi petanda
terbinanya “kesedaran diri sastera” (literary self-awareness) yang memperakui
keperihatinan ilmu untuk menjana pemikiran sebagai satu sistem sastera (2005, hal. 375).
Senada dengan hal ini, Haji Wan Mohd. Shaghir Abdullah (1996) juga telah mengupas
kandungan ilmu dan fungsi karya-karya keagamaan Hamzah Fansuri seperti
dibincangkan dalam bukunya Tafsir Puisi Hamzah Fansuri dan Karya-karya Shufi (1996)
Hal ini memberi faham bahawa tuntutan terhadap penyampaian ilmu dalam karya sastera
khasnya karya keagamaan adalah sesuatu yang amat dituntut. Persoalan ini dijelaskan
dengan terperinci oleh Mohd Affandi Hassan melalui gagasan Persuratan Baru yang
“memproblematikkan soal ilmu dan cerita iaitu dua konsep penting yang relevan dan
menjadi pokok perbincangan” seperti dijelaskan melalui bukunya Pendidikan Estetika
Daripada Pendekatan Tauhid (1992).
Menyedari asas kandungan syair yang dikaji adalah berteraskan ilmu Islam dan
tunjang fungsinya untuk memandu manusia mentauhidkan Allah, maka pendekatan
analisis bercorak mendidik dengan cara nasihat malah kritikan sosial diguna pakai oleh
pengkaji. Dalam konteks ini pengkaji menggunakan istilah “bilur-bilur Islami” yang
merujuk kepada nasihat atau kritikan agama Islam yang menimbulkan pengajaran,
ingatan dan kesan di hati penerima. Dalam pengertian kamus “bilur” bermaksud “bekas
pada kulit akibat dipukul dengan sesuatu yang tajam atau nipis seperti cemeti, rotan.
Berbilur membawa maksud ada bilurnya, berbekas bilur” (Kamus Dewan, 2007, hal.
187). Sebubungan dengan maksud itu pengertian “bilur-bilur Islami” dalam konteks
kajian ini bermaksud ilmu atau pengajaran Islami yang berkesan, berbekas di hati yang
disampaikan secara nasihat, ingatan, panduan, kritikan dengan menggunakan larik-larik
syair yang indah.
9